MELAKA: Seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) yang memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024 kecewa apabila permohonannya memasuki institusi pengajian tinggi awam (IPTA) ditolak atas alasan OKU fizikal.
Muhammad Aidil Farhan Muhammad Kamal, 19, yang berhasrat melanjutkan pengajian dalam jurusan ijazah sarjana muda perakaunan berkata, pengurusan IPTA terlibat memberikan alasan tiada kemudahan laluan untuk OKU di universiti itu.
“Baru-baru ini saya berjumpa abang di universiti itu yang melanjutkan pengajian peringkat sarjana. Saya lihat ada sahaja kemudahan laluan, tandas dan lif untuk OKU di fakulti perakaunan.
“Cuma sekarang saya amat berharap permohonan memasuki sebuah lagi universiti Oktober ini dalam bidang perakaunan dapat diterima oleh mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Majlis
Apresiasi Pelajar Cemerlang STPM, Bijak Sejarah STPM, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Pelajar Huffaz 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, semalam.
Muhammad Aidil Farhan berkata, universiti itu ada menawarkan beberapa kursus lain, namun syarat kemasukan tidak melayakkannya untuk memohon.
Dia yang merupakan bekas pelajar Kolej Tingkatan Enam Tun Fatimah memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.58 menghadapi masalah saraf motor neuron yang dihidapi sejak lahir. – UTUSAN










