Fitnah Agong, Forest City: Che'gu Bard rayu keputusan Mahkamah Tinggi

Fitnah Agong, Forest City: Che’gu Bard rayu keputusan Mahkamah Tinggi

BADRUL Hisham Shaharin (kiri) tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi sebutan kes mengeluarkan kenyataan fitnah terhadap Yang di-Pertuan Agong. UTUSAN/IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin merayu dua keputusan Mahkamah Tinggi yang melarangnya mengeluarkan kenyataan berkaitan dua kes jenayah di bawah Akta Hasutan 1948.

Beliau yang dikenali sebagai Che’gu Bard, 45, merayu keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada 14 Mei lalu yang membenarkan perintah larangan bersuara terhadapnya berkaitan kes fitnah terhadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Pengarah Operasi Jabatan Pilihan Raya Bersatu Johor itu juga merayu keputusan Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 20 Mei lalu yang mengeluarkan larangan berkaitan kes  penerbitan menghasut membabitkan projek kasino di Forest City, Iskandar Puteri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali memberitahu, notis rayuan terhadap kedua-dua kes difailkan di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 23 Mei lalu manakala tarikh pendengaran belum ditetapkan.

Ujarnya, pihak pembelaan mahu Mahkamah Rayuan menentukan sama ada kedua-dua keputusan Mahkamah Tinggi itu betul atau silap dari segi undang-undang.

“Kami berpendapat, kebebasan bersuara walaupun tidak mutlak, ia mesti memberi cukup ruang kepada anak guam selaku tertuduh,” ujar beliau kepada pihak media selepas sesi pengurusan kes di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Aminah Ghazali menetapkan 11 Julai ini bagi penyerahkan baki dokumen oleh pihak pendakwaan kepada pembelaan.

Pada 29 April lalu, Badrul Hisham didakwa membuat penerbitan menghasut di Facebook atas nama ‘Chegubard’ untuk merosakkan nama baik YDPA di Taman Bukit Cheras, pukul 12.15 tengah hari pada 6 April lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4 (1) (c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, Badrul Hisham didakwa mengeluarkan kenyataan fitnah untuk merosakkan nama baik Baginda dan kesalahan didakwa dilakukan  di Pejabat Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Jalan Sultan Abdul Halim, di sini pukul 6 petang pada 22 Januari lalu.

Pada 30 April lalu, tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan menerbitkan penerbitan menghasut menerusi akaun Facebooknya berhubung projek kasino di Forest City. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN