SHAH ALAM: Pelaksanaan Bulan Pemutihan sejak 15 Mei lalu oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyebabkan berlaku lonjakan drastik pendaftaran pencarum serta caruman pekerja sehingga 31.8 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Menerusi program tersebut, sebanyak 7,370 majikan mendaftar dalam tempoh itu termasuk warga asing melibatkan seramai 126,041 pekerja.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, bagi pendaftaran pekerja baharu warga tempatan dan asing, ia meningkat 34.1 peratus.
Menurutnya, susulan sambutan menggalakkan itu, Bulan Pemutihan akan dilanjutkan selama sebulan lagi sehingga 30 Jun depan.
“Lanjutan tempoh itu susulan sambutan menggalakkan daripada majikan sejak pelancaran bulan khas berkenaan pada 15 Mei lalu. Pemerhatian sehingga semalam mendapati berlaku peningkatan drastik jumlah pendaftaran serta caruman,” katanya selepas merasmikan majlis penyerahan bantuan Program Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (PHEKS) Peringkat Zon Tengah 2024, hari ini.
Jelasnya, Perkeso melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kesedaran majikan sama ada menerusi media sosial, konvensional dan elektronik.
“Selain itu, lawatan dilakukan ke atas 11,035 premis majikan tahun ini berbanding 9,925 pada tahun lalu bagi memastikan perlindungan pekerja.
“Justeru, pelanjutan Bulan Pemutihan ini wajar bagi memberi tempoh lebih panjang pendaftaran pekerja di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017(Akta 800) sekali gus mengelak dikenakan tindakan kelak,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau Steven Sim menegaskan, majikan yang ingkar boleh dikompaun RM5,000 selain didakwa di mahkamah dengan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
“Majikan juga akan dikenakan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB) pada kadar enam peratus setahun di atas setiap hari caruman yang lewat dibayar itu.
“Pendaftaran caruman pekerja itu wajib dilakukan semua majikan termasuk berskala kecil dan tindakan tegas akan diambil selepas 30 Jun depan,”jelasnya.
Katanya lagi, majikan boleh mendaftar secara dalam talian melalui Portal Assist atau hadir di 54 pejabat Perkeso seluruh negara dan menghubungi talian Careline 1-300-22-8000. – UTUSAN










