KUALA LUMPUR: Bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM350,000 bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan tender perkhidmatan penyelenggaraan dan pembekalan alat ganti peralatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), empat tahun lalu.
Sayed Amir Muzzakkir Al Sayed Mohamad, 42, meminta dibicarakan selepas pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Tertuduh adalah bekas setiausaha politik Hamzah yang juga bekas Menteri Dalam Negeri, bukan setiausaha politik Menteri Besar Perlis yang dilaporkan media sebelum ini.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa menerima wang rasuah masing-masing RM100,000 dan RM250,000 daripada Pengarah Urusan Syarikat Nexuscorp Group Sdn. Bhd., Wan Azhar Mohamed Yusof.
Ia sebagai upah membantu syarikat berkenaan mendapatkan tender perkhidmatan penyelenggaraan serta pembekalan alat ganti untuk peralatan infrastruktur, server, perisian serta radio pengguna sistem RMPNET PDRM bernilai RM381,112,042.44.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Yayasan Tanah Aku, Solaris Dutamas, di sini jam 4 petang, 4 Disember 2020 dan 3.30 petang 16 Disember tahun sama.
Pendakwaan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Hakim Azura Alwi membenarkan Sayed Amir Muzzakkir diikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin, pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai serta diarah melapor diri ke pejabat SPRM Wilayah Persekutuan setiap bulan.
Mahkamah turut melarang tertuduh berhubung atau mengganggu saksi-saksi pendakwaan terutama Wan Azhar.
Mahkamah menetapkan 12 Julai ini untuk sebutan kes bagi penyerahan dokumen.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Zander Lim Wai Keong memohon jaminan RM100,000 beserta syarat tambahan serta tertuduh dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan terutama Wan Azhar.
Bagaimanapun, peguam Md. Yunos Shariff memohon jaminan dikurangkan kepada RM40,000 kerana anak guamnya tidak berisiko melarikan diri.
Hujah peguam, Sayed Amir Muzzakkir bekerjasama ketika siasatan SPRM sejak Januari lalu dan hartanya turut disita oleh agensi itu menjadikannya tiada sebab melarikan diri.
Bagaimanapun, Zander menyatakan, setiap kes adalah berbeza manakala pertuduhan yang dihadapi tertuduh adalah serius kerana melibatkan dakwaan penerimaan wang rasuah.
Berkaitan isu tiada risiko melarikan diri, Zander menghujahkan, risiko itu tetap wujud kerana tertuduh juga akan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, esok atas satu pertuduhan meminta rasuah daripada individu sama. – UTUSAN










