Hamzah umum parti baharu bulan depan

Hamzah umum parti baharu bulan depan

HAMZAH ZAINUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin bakal melancarkan parti baharunya pada bulan depan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber terdekat dengan Hamzah memaklumkan pengumuman tersebut akan dibuat pada Konvensyen Reset sebelum sidang Dewan Rakyat 22 Jun ini.

“Ya, Datuk Seri Hamzah akan mengumumkan parti baharu pada bulan depan di mana sebahagian besar akar umbi Bersatu akan bersama dengan Hamzah. Pada ketika ini, segala urusan untuk pengumuman sudah hampir selesai.

“Lebih 19 Ahli Parlimen dan 20 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk juga dengan kekuatan lebih 120,000 akar umbi Bersatu dan persiapan parti baharu akan bersama dengan Hamzah dan persiapan kali ini lebih kepada mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” katanya ketika dihubungi.

Sumber turut memaklumkan, Konvensyen Reset itu akan turut disertai pemimpin tertinggi Pas dan pemimpin daripada parti komponen Perikatan Nasional (PN).

Perkara ini selaras dengan kenyataan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi pada semalam yang menjelaskan, agenda penyatuan ummah tidak terikat hanya kepada kerjasama politik antara Pas dengan Bersatu dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

Sebaliknya, ia terbuka kepada semua pihak, juga mana-mana parti politik Melayu-Islam termasuk UMNO.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah parti baharu ini akan membuatkan PN berpecah susulan kecenderungan Pas bersama dengan Hamzah, beliau tidak menolak kemungkinan akan perkara itu, namun terbuka dalam jajaran politik baharu demi kepentingan Melayu dan Islam.

“Tidak mustahil perkara itu berlaku kerana politik berubah dari semasa ke semasa. Jika bersatu terus bergelut dalam masalah, mungkin Pas akan melakukan sesuatu bagi membentuk jajaran politik supaya undi Melayu tidak berpecah pada PRU nanti. Itu fokus kita,” katanya

Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bertemu Hamzah, antara lain bagi membincangkan mengenai isu penyatuan Melayu dan Islam.

Susulan pertemuan itu, Ahmad Zahid ketika Perhimpunan Agung UMNO 2025 Januari lalu menyampaikan hasrat partinya untuk menyatukan seluruh parti Melayu dan Islam di bawah satu gabungan dikenali ‘grand collaboration’ atau ‘kolaborasi agung’ tanpa berhajat untuk menggugat Kerajaan Perpaduan.

Katanya, UMNO juga tidak mahu mana-mana parti yang akan menganggotai kolaborasi itu membubarkan parti mereka, sebaliknya bersama secara tidak rasmi terlebih dahulu bagi langkah awal dan menjadikannya sebagai satu gabungan besar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN