PN tolak parti baharu, tetapi sedia bekerjasama

PN tolak parti baharu, tetapi sedia bekerjasama

TAKIYUDDIN HASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) tidak menerima mana-mana parti baharu sebagai ahli rasmi dalam gabungan tersebut ketika ini.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, bagaimanapun PN terbuka untuk mengadakan kerjasama menerusi pendekatan kerjasama pilihan raya (electoral pact) bagi menghadapi pilihan raya umum (PRU) mahupun pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Katanya, menerusi pendekatan itu, semua bentuk kerjasama termasuk pembahagian kerusi akan dibincangkan secara terperinci antara parti-parti yang memohon menyertai PN dan parti yang telah pun berada dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR).

“Empat parti dalam PN ketika ini sudah mencukupi dan berada dalam keadaan stabil. Walaupun ada parti yang tidak bersama secara rasmi dalam PN, kita mempunyai satu gabungan iaitu IPR bagi menghimpunkan parti yang mahu bersama kita.

“Malah, ada antara parti yang dikaitkan untuk menyertai PN sebenarnya telah pun berada dalam IPR dan kita akan gunakan pendekatan electoral pact untuk membincangkan kerjasama lebih terperinci,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat PN di sini semalam.

Dalam mesyuarat berkenaan, PN bersetuju secara prinsip untuk menerima kerjasama pilihan raya atau electoral pact bersama parti-parti tertentu yang mempunyai keserasian perjuangan dan kepentingan bersama dengan PN.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, terdapat usaha melobi supaya PN menolak kemasukan beberapa aprti baharu ke dalam gabungan itu.

Antara parti yang dikaitkan dengan permohonan itu adalah Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).

Dalam pada itu Takiyuddin berkata, bagi menghadapi pilihan raya nanti, PN akan menetapkan satu dasar menerusi pendekatan tersebut bagi membincangkan soal pembahagian kerusi yang akan diperincikan menerusi satu rundingan nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN