PENAMPANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu perkara-perkara yang disepakati dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diselesaikan dan tidak lagi tertangguh.
Beliau berkata, kerajaan negeri dan Persekutuan akan berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan isu MA63.
Walau bagaimanapun, beliau mahu tuntutan yang dibuat harus mengambil kira perubahan yang berlaku.
“Sejak saya menjadi Perdana Menteri, saya telah mengarahkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof untuk mempengerusikan (Jawatankuasa Teknikal MA63) kerana hal yang disepakati bukan semua tuntutan Persekutuan, bukan semua tuntutan Sabah atau Sarawak. Hal yang telah disepakati dalam MA63 harus diselesaikan, saya tidak mahu tertangguh lagi.
“Setiap (mesyuarat) Kabinet, ada peluang saya tanya (MA63) kerana saya tidak mahu tangguhkan. Ada orang di Semenanjung, pembangkang kata Anwar melebih-lebih beri peruntukan kepada Sabah dan Sarawak, tidak adil kepada Kelantan dan Terengganu.
“Kita bukan hanya tangani masalah Sabah, sentimen-sentimen ini ada dan kita harus jawab sebab itu kita harus ada hubungan yang sangat baik, runding dengan baik. Jangan dilihat sebagai tuntutan yang mempersulitkan urusan kerja kita,” katanya semasa merasmikan penutupan Pesta Kaamatan di Dewan Hongkod Koisaan, KDCA hari ini.
Anwar berkata, beliau tidak mempunyai masalah dengan cadangan dikemukakan Pemimpin Agung Masyarakat Kadazandusun, Murut (KDM), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan namun, beliau berhadapan masalah apabila ada suara-suara yang melemparkan tuduhan melampau.
“Saya hadapi masalah apabila ada suara-suara yang kadang-kadang dianggap melampau seolah-olah kerajaan Persekutuan tidak buat tapa-apa. Seolah-olah saya datang hanya nak balak, ada kepentingan.
“Kita kena hentikan sentimen ini kerana sentimen begini akan mengundang sentimen lain di negeri lain dan tidak akan membantu. Kadang-kadang sentimen ini dikeluarkan oleh orang-orang yang pernah berkuasa, semasa dia berkuasa tidak difikirkan itu semua.
“Sekarang apabila tidak ada kuasa, riuh rendah minta itu dan minta ini. Kita kalau hendak lakukan, saudara Hajiji atau Anwar, kita lakukan sekarang, sedaya upaya kita selesaikan soal MA63,” katanya.
Menurut beliau, perbincangan dalam tempoh setahun kerajaan Madani, kerajaan telah selesaikan masalah MA63 jauh lebih baik daripada apa yang dibuat daripada 10 tahun yang lalu.
Kata beliau, memandangkan pengurusan Pelabuhan Bintulu telah diserahkan semula kepada Sarawak kerana berdasarkan MA63, pelabuhan berada di bawah bidang kuasa negeri.
Maka, tambahnya, apabila Sabah telah bersedia dan semua perkara berkaitan telah selesai jadi, pengurusan pelabuhan akan diserah kepada Sabah.
“Saya tiada masalah sama sekali untuk tunaikan apa yang kita janjikan dalam MA63 cuma saya minta jangan pertikai dan jangan nafikan,” katanya. – UTUSAN









