PUTRAJAYA: “Senario politik telah berubah dan pada hemat saya kita tutup buku lama dan buka buku baharu,” kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata demikian mengulas kemunculan video-video lama memaparkan calon DAP mengutuk UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang dimainkan semula di platform media sosial.
Difahamkan, video-video lama itu dimainkan semula bagi menghangatkan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu yang bermula hari ini.
Ahmad Zahid berkata, ketika ini senario politik telah berubah dan sudah tiba masanya perkara itu dilupakan.
“Kalau video lama memang banyak video yang begitu. Malah, parti-parti lain pun begitu juga. Ada juga sebuah video oleh pemimpin parti Islam yang minta sokong DAP.
“Video itu pun boleh dimainkan tetapi realiti politik ketika ini ialah suasana telah berubah,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Timbalan Perdana Menteri di Sri Satria, hari ini.
Ditanya mengenai kenyataan calon Perikatan Nasional (PN) Kuala Kubu Bharu, Khairul Azhari Saut yang mendakwa PN akan menang susulan kedudukan parti Melayu yang berpecah, Ahmad Zahid berkata, itu pendapat peribadi calon berkenaan.
“Itu pendapat beliau, saya ingat eloklah beliau tumpukan perhatian terhadap amal ibadat sahaja,” katanya.
PRK DUN Kuala Kubu Bharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas.
PH mempertaruhkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao mewakili Kerajaan Perpaduan, dicabar pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut mewakili PN.
Sementara PRM diwakili Hafizah Zainuddin dan Nyau Ke Xin bertanding atas tiket Bebas. – UTUSAN










