KANGAR: Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) menyerahkan siasatan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu melanda kerajaan negeri ketika ini
Setiausaha kerajaan negeri, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar berkata, pihaknya tidak mempunyai kapasiti untuk mengulas mengenai perkembangan tersebut memandangkan tidak mengetahui secara lanjut berhubung kes berkenaan.
Katanya, dalam siasatan ini, SPRM juga tidak pernah berurusan dengannya dan berikutan itu pihaknya tidak dapat memberi komen lanjut.
“Saya rasa belum sesuai untuk saya komen sebab masih peringkat siasatan. Saya serah pada pihak SPRM,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas selesai diambil keterangan hampir lapan jam sejak pagi ini.
Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Minggu lalu, media melaporkan mengenai penahanan reman anak kepada Menteri Besar Perlis bersama seorang pegawai kanan kerajaan negeri dan empat individu lain bagi membantu siasatan berhubung kes berhubung kes pemalsuan dokumen tuntutan palsu.
Kesemua mereka bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas tiga hari ditahan reman.
Semalam media juga melaporkan, SPRM akan menyiasat seorang pemimpin politik kerana disyaki melantik beberapa syarikat yang mempunyai kepentingan dengan anaknya membabitkan peruntukan bernilai kira-kira RM300,000.
Satu sumber memberitahu, pemimpin tersebut disyaki melantik beberapa syarikat bagi kerja-kerja seperti membaik pulih dan melakukan penyelenggaraan jalan yang melibatkan peruntukan Pejabat Menteri Besar.
Kata sumber itu, projek-projek tersebut juga dipercayai dimonopoli oleh anak pemimpin tersebut dengan menggunakan beberapa lesen syarikat-syarikat di bawah kawalannya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM Putrajaya, Datuk Azmi Kamaruzaman mengesahkan kehadiran Mohd Shukri ke ibu pejabat agensi itu bagi memberi keterangan.-UTUSAN










