KUALA NERUS: Seluas enam hektar kawasan pusat pelupusan sampah di Kampung Sungai Ikan dekat sini terbakar disyaki berpunca cuaca panas berterusan sejak Jumaat lalu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Hassan ‘As’ari Omar, berkata, kerja-kerja pemadaman giat dijalankan dengan bantuan agensi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan.
Katanya, seramai 15 pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus dan BBP Kuala Terengganu bersama jentera dan lori tangki berkapasiti 20,000 liter air terlibat dalam operasi berkenaan.
Menurut beliau, usaha mengawal kebakaran bagaimanapun berdepan kesukaran ekoran sumber air yang agak jauh dari lokasi, selain faktor timbunan sampah yang tebal dan cuaca kering.
“Semakan awal mendapati punca kebakaran lebih menjurus faktor semulajadi iaitu cuaca panas, selain sisa sampah menerima haba terlalu tinggi sehingga mencetuskan api yang marak.
“Kami tidak dapat menjangkakan berapa lama masa diperlukan untuk memadam sepenuhnya kebakaran ini, namun JBPM dan agensi berkaitan akan melaksanakan pelan tindakan sewajarnya.
“Mungkin dua atau tiga hari, mungkin lebih lama lagi (tempoh diperlukan) disebabkan cuaca panas dan ketiadaan sumber air,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, semalam.
Keluasan keseluruhan kawasan pusat pelupusan sampah itu dianggarkan lapan hektar
Tambah Hassan ‘As’ari lagi, penduduk kampung terdekat yang terletak kira-kira 300 sehingga 500 meter dari kawasan tersebit dibimbangi terkesan dengan asap tebal daripada kebakaran berkenaan.
Selain itu, jelas beliau, pengguna di jalan raya utama di hadapan pusat pelupusan sampah itu juga dinasihatkan berhati-hati disebabkan jarak penglihatan yang terhad terutama pada waktu siang.
“Api merebak dengan cepat sejak Jumaat namun semua pihak bekerjasama dengan mengambil langkah penting memastikan kebakaran dapat dikawal sepenuhnya,” tambah beliau. – UTUSAN










