PRK Kuala Kubu Bharu: DAP harap UMNO, BN balas budi - Utusan Malaysia

PRK Kuala Kubu Bharu: DAP harap UMNO, BN balas budi

Walaupun Nga Kor Ming (tiga dari kanan) tegaskan peruntukan pembangunan yang diumumkannya untuk Hulu Selangor sama seperti di kawasan lain, MCA dakwa ia tetap dianggap `gula-gula' menjelang PRK Kuala Kubu Baharu 11 Mei.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming melahirkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana akan bertungkus-lumus dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, yang juga Presiden UMNO yang semalam telah mengumumkan parti UMNO akan bertungkus-lumus berkempen untuk calon mewakili Kerajaan Perpaduan.

“Sama juga dengan pendirian DAP. Kita yang akan memberi sokongan penuh kepada mana-mana calon yang telah mendapat restu atau mewakili Kerajaan Perpaduan. Kami menghormati semangat perpaduan,” katanya kepada pemberita semasa membuat lawatan kerja di sini hari ini.

Kerusi DUN Kuala Kubu Bharu kosong berikutan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong akibat kanser pada 21 Mac.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN itu pada 11 Mei, manakala 27 April sebagai hari penamaan calon.

Kor Ming turut berterima kasih kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang memberikan komitmen tanpa berbelah-bahagi.

Beliau juga mengingatkan sewaktu PRK DUN Pelangai yang ditandingi oleh calon UMNO mewakili Kerajaan Perpaduan, DAP berhempas-pulas untuk memenangkan calon tersebut sehingga berjaya meraih 98 peratus undi khususnya pengundi kaum Tionghoa apabila memilih menyokong wakil UMNO.

“Tidak pernah berlaku dalam sejarah. UMNO tak pernah dapat 98 peratus undi Cina. Tetapi dengan semangat perpaduan ini, kejayaan ini adalah satu rekod yang boleh dibanggakan,” katanya.

Katanya, calon mewakili parti Kerajaan Perpaduan akan diumumkan pada Rabu ini dan mengharapkan pencapaian sama seperti di PRK Pelangai dapat diterjemahkan dalam PRK Kuala Kubu Bharu tanpa mengira siapa yang akan mewakili mereka.

“Saya memohon budi, sekiranya boleh, semangat juga ini ditonjolkan. Semangat Pelangai dapat ditunjukkan di Kuala Kubu Bharu bagaimana DAP berkempen habis-habisan untuk UMNO, UMNO juga akan buat yang sama. Orang buat baik, kita balas budi, itu budaya Melayu,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN