PUTRAJAYA: Isu ekonomi dan masa depan penduduk tempatan adalah tumpuan utama Kerajaan Perpaduan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB).
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, pihaknya sudah mengenal pasti isu yang dibangkitkan penduduk serta pengundi di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, sejumlah perkara yang dibangkitkan sama ada oleh penduduk atau pengundi di KKB serta apa yang dijanjikan oleh mendiang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) KKB akan menjadi keutamaan.
“Maklum balas yang kami terima, fokus bagi pengundi di KKB, berkait isu ekonomi dan masa depan terutama bagi rakyat tempatan, inilah yang akan menjadi fokus,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Pada masa sama, Fahmi berkata, beliau menafikan wujud ketidaksefahaman antara parti-parti komponen dalam menggerakkan kempen PRK KKB.
“Ia tidak benar sama sekali (tiada persefahaman). Bagi Pakatan Harapan (PH), kita mengadakan mesyuarat minggu lalu diikuti dengan mesyuarat bersama Barisan Nasional (BN).
“Keputusan dicapai dan kami bersetuju untuk bekerjasama dalam kempen itu. Ia turut membabitkan kerjasama di peringkat kebangsaan dan negeri.
“Mana-mana calon yang akan diumumkan kelak disokong sepenuhnya oleh semua parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Ditanya berhubung sedikit ketegangan yang berlaku antara DAP dan MCA, Fahmi berkata, biarpun ada perbezaan pandangan, namun Kerajaan Perpaduan akan berusaha bekerjasama dengan baik demi kemaslahatan rakyat.
Ditanya mengenai hasrat Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) untuk meletakkan calon di PRK KKB, Fahmi berkata, ia terpulang kepada parti berkenaan.
“Negara ini mengamalkan demokrasi. Mereka boleh terlibat,” katanya. – UTUSAN










