PRK: Isu penahanan anak Menteri Besar tidak beri kesan, jangan pilih kasih - Pas - Utusan Malaysia

PRK: Isu penahanan anak Menteri Besar tidak beri kesan, jangan pilih kasih – Pas

Pix TUAN Ibrahim Tuan Man pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Pusat di Dewan 2020, Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN/AHMAD ADIB AKHYAR AMINARRASHID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pas menyifatkan isu penahanan anak Menteri Besar Perlis oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak akan memberi kesan kepada parti itu dan Perikatan Nasional (PN) dalam mendepani Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, isu-isu seperti itu khususnya ketika menjelang pilihan raya dilihat tidak akan mengganggu dan Pas juga sentiasa terbuka kepada siasatan tersebut.

Malah, katanya, Menteri Besar Perlis sendiri juga membuka pintu 25 jam dan ruang seluas-luasnya kepada SPRM menjalankan siasatan.

“Saya lihat ‘mood’ rakyat, isu-isu seperti ini tidak akan mengganggulah. Apa yang kita kesal mengapa terus anak Menteri Besar diketengahkan, kenapa tidak sebut nama sahaja terus,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Pusat di Dewan 2020 di sini hari ini.

Sebelum itu, media melaporkan mengenai penahanan reman anak kepada Menteri Besar Perlis bersama seorang pegawai kanan kerajaan dan empat individu lain bagi membantu siasatan berhubung kes pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Siasatan berkenaan dilakukan atas kesalahan pemalsuan dokumen dalam membuat tuntutan palsu sedangkan kerja-kerja berkenaan tidak dilaksanakan dengan anggaran jumlah keseluruhan projek bernilai RM600,000 bermula dari tahun 2022 sehingga kini.

Kesemua mereka bagaimanapun telah dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas tiga hari ditahan reman.

Sementara itu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut berpandangan sama bahawa isu berkenaan tidak akan menjejaskan PN dalam PRK selain berharap siasatan dijalankan secara profesional tanpa sebarang ketakutan atau pilih kasih.

Katanya, jika diimbau pada 2009, Allahyarham bekas Menteri Besar Kelantan, Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat pada masa itu juga pernah disiasat oleh SPRM kononnya ditaja oleh ahli perniagaan untuk mengerjakan umrah.

“Kita sangat terbuka, boleh siasat mengikut undang-undang dan kalau ada asas yang kuat tuduhlah di mahkamah. Bukan Pas sahaja ada kes seperti itu, orang lain pun ada sama diambil tindakan atau tidak sahaja.

“Jadi kita harap harap SPRM bertindak secara profesional tanpa pilih kasih. Jika ada kesalahan sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang, ambil tindakan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN