PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan semua Jemaah Menteri supaya ‘turun padang’ dan meninjau sendiri isu harga dan kuantiti barangan di pasaran.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, arahan itu disampaikan Perdana Menteri kepada semua menteri pada mesyuarat Kabinet hari ini.
Beliau berkata, Perdana Menteri juga mahu semua menteri meluangkan lebih banyak masa untuk melihat sendiri situasi kos sara hidup dihadapi rakyat.
“Ini (arahan) susulan maklum balas diterima Perdana Menteri pada siri program dihadiri beliau (sebelum ini),” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Sebelum ini tular klip video di media sosial seorang wanita menegur Anwar pada siri lawatan beliau dalam satu program di Perlis, baru-baru ini.
Video berdurasi 22 saat itu menyaksikan wanita itu merungut dan meluahkan kepada Anwar berhubung harga barang keperluan yang semakin mahal di pasaran.
Arahan oleh Perdana Menteri itu bukan kali pertama disuarakan, malah beliau telah mengarahkan agensi berkaitan supaya memantau harga makanan di pasaran termasuk aspek penguatkuasaan perlu ditingkatkan susulan kenaikan harga makanan pasaran ketika ini.
Malah, beliau mengakui kenaikan harga makanan di pasaran dan ia dilihat membebankan rakyat sedangkan harga gula terkawal manakala, harga ayam pula sudah turun. – UTUSAN










