Perceraian adalah jalan terakhir - Nora Danish akui rumah tangga bergolak - Utusan Malaysia

Perceraian adalah jalan terakhir – Nora Danish akui rumah tangga bergolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Perceraian adalah jalan terakhir. Apa juga keputusan, saya mengharap yang terbaik untuk kami berdua dan anak-anak.”

Demikian kenyataan pelakon prolifik, Nora Danish berhubung dakwaan rumah tangganya dengan Nedim Nazri berantakan sehingga tidak lagi tinggal sembumbung.

Jelas pelakon Sayu Yang Syukur itu, dia mengakui rumah tangga yang dibina tujuh tahun lalu goyah namun mereka berdua sedang berusaha menangani kemelut tersebut.

“Kita manusia biasa, tidak lari daripada kesilapan. Tujuh tahun berkahwin, memang ada pergolakan tetapi kami cuba tangani sebaik mungkin.

“Buat masa ini, lebih baik tinggal berasingqn di rumah keluarga masing-masing. Perkahwinan kadang memerlukan ruang, itu lumrah.

“Apa yang berlaku, tiada kena mengena dengan orang ketiga, lebih kepada persefahaman masing-masing. Rumah tangga mana tiada masalahkan,” ujarnya secara profesional.

Nora berkata demikian ketika ditemui semasa majlis rumah terbuka 4ward Entertainment Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Desas desus pergolakan rumah tangga Nora dan Nedim mula bertiup kencang selepas mereka tidak berkongsi gambar raya bersama baru-baru ini.

Dalam pada itu, Nora berkata, hubungannya dengan suami ketika ini baik terutama melibatkan urusan anak-anak biarpun sudah tidak tinggal sebumbung sejak tiga bulan lalu.

“Kami tetap berhubung terutama pasal anak-anak. Saya tidak mahu apa yang berlaku memberi unsur negatif terutama kepada anak-anak.

“Anak-anak okay tetapi yang kecil itu mungkin tidak faham. Mereka lebih tertekan dengan keadaan rumah kami yang belum
selesai direnovasi.

“Macam saya cakap, kami berdua sedang berusaha sebaik mungkin untuk memperbaiki hubungan ini. Sebab itu masing-masing perlukan ruang,” kongsinya.

Sementara itu, ujar pelakon filem Terkutuk itu lagi, dia dalam masa sama menyerahkan soal rumah tangga mereka mengikut aturan Tuhan.

“Itulah aturannya, kebetulan seiring dengan keadaan rumah yang sedang direnovasi, masing-masing cari ruang untuk selesaikan masalah ini.

“Kami berdua serahkan dan doakan yang terbaik. Macam saya cakap, perceraian adalah jalan terakhir. Kami berdua pernah melalui fasa itu jadi apa pun, kita mahu yang terbaik,” katanya.

Untuk info, mendirikan rumah tangga dengan Mohamad Nedim Nazri pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Mohamed Neqayl, enam tahun.

Sebelum itu, Nora pernah berkahwin dengan Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan seorang anak, Putra Rayqal, 15 tahun sebelum bercerai pada 2008.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN