PUTRAJAYA: Malaysia tidak mengetepikan prinsip hak asasi manusia dalam menangani isu pelarian Rohingya, sebaliknya menggunakan pendekatan diplomatik bagi mencari penyelesaian terhadap krisis berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata pendekatan itu bertujuan mencari jalan keluar terhadap penderitaan etnik Rohingya yang sekian lama berdepan tekanan di Myanmar, tanpa bermaksud merestui tindakan pengusiran yang berlaku.
Beliau berkata, usaha membina hubungan diplomatik dengan Myanmar perlu diteruskan bagi membolehkan penyelesaian praktikal dicapai termasuk ketika lawatan Perdana Menteri Myanmar, Min Aung Hlaing ke Malaysia baru-baru ini memandangkan pendekatan berasaskan kemarahan selama puluhan tahun tidak membawa perubahan dasar yang ketara.
Menurutnya, Malaysia mengambil pendekatan berkenaan bagi memastikan isu pelarian dapat ditangani melalui kerjasama kedua-dua negara, termasuk usaha membawa pulang rakyat Myanmar yang berada di Malaysia.
Anwar berkata, setakat ini kira-kira 10,300 rakyat Myanmar telah dibawa pulang menggunakan pesawat dan kapal, termasuk kapal perang, dengan kos ditanggung pihak Myanmar.
Beliau berkata, Myanmar turut bersetuju membawa pulang 3,000 lagi rakyatnya dalam bulan ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan menangani isu berkenaan.
“Ada juga pihak hak asasi manusia yang mengkritik saya kerana tidak memberikan jaminan keselamatan kepada mereka. Antara syarat yang kita kemukakan ialah keselamatan mereka mesti dijamin.
“Namun, mereka juga rakyat dan terdapat batasan terhadap usaha yang boleh kita lakukan. Alhamdulillah, setakat ini saya sudah mengulangi perkara itu dan mereka bersetuju bahawa dalam bulan ini, 3,000 lagi akan dibawa pulang,” katanya ketika berucap dalam Majlis Ilmu Madani di Kompleks Seri Perdana, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Anwar berkata, usaha itu tidak bermakna Malaysia bersetuju dengan segala tindakan Myanmar atau menganggap langkah berkenaan sudah mencukupi untuk menyelesaikan keseluruhan krisis pelarian.
“Adakah langkah ini mencukupi? Tidak. Adakah dengan langkah ini saya merestui segala keterlanjuran mereka? Tidak. Tetapi saya fikir inilah jalan sementara yang boleh kita lakukan,” katanya.
Beliau berkata, aspek keselamatan mereka yang dibawa pulang turut menjadi perhatian Malaysia, tanpa mengira sama ada mereka beragama Islam atau Buddha.
Katanya, jaminan keselamatan merupakan antara perkara yang ditekankan dalam perbincangan dengan Myanmar bagi memastikan kerjasama itu dapat diteruskan.
Anwar berkata, Malaysia juga berdepan kritikan daripada pihak hak asasi manusia berhubung pendekatan berkenaan, namun mempersoalkan sejauh mana bantuan konkrit diberikan oleh pihak yang mengkritik usaha tersebut.
“Saya faham bahawa sebagai Perdana Menteri Malaysia, saya diserang di Amerika Syarikat dan Eropah kerana mengetepilan prinsip hak asasi manusia. Tetapi apakah yang mereka lakukan untuk membantu? Tidak ada bantuan yang diberikan.
“Jadi, terpulang kepada kita untuk mencari jalan penyelesaian. Itulah penjelasan saya mengenai Myanmar. Saya tidak mengambil sikap mempromosikan atau menyerah kepada tindakan mereka. Sebaliknya, saya menjelaskan bahawa usaha membawa pulang lebih 10,000 orang itu merupakan satu pencapaian besar,” katanya.
Menurutnya, Malaysia perlu mencari jalan penyelesaian sendiri melalui saluran diplomatik, sambil memastikan prinsip kemanusiaan terus diberi perhatian.
Beliau berkata, sekiranya usaha membawa pulang rakyat Myanmar dapat diteruskan pada kadar 4,000 hingga 5,000 orang sebulan, ia boleh membantu mengurangkan jumlah mereka yang masih berada di Malaysia, tertakluk kepada pertimbangan keselamatan.
Bagaimanapun, katanya, sebarang kebimbangan mengenai keselamatan mereka perlu diteliti sebelum langkah selanjutnya diambil.-UTUSAN











