PETALING JAYA: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengesan 30 tender pembekalan bernilai RM108.3 juta, yang disyaki terbabit dalam kartel tipuan bida.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Armizan Mohd Ali berkata, tender berkenaan termasuk pembekalan makanan bermasak untuk sekolah dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Katanya, tender berkenaan disyaki mempunyai unsur kartel tipuan bida membabitkan 18 perusahaan.
“Tender melibatkan 12 entiti sektor awam terdiri daripada enam kementerian, tiga IPTA, dua jabatan agama Islam negeri (JAIN) dan sebuah badan berkanun persekutuan.
“Jumlah keseluruhan nilai perolehan bagi 30 tender itu ialah RM108.3 juta,” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2027 bagi Kementerian Pendidikan (KPM) di Dewan Rakyat, hari ini.
Armizan berkata, perusahaan yang disyaki terbabit diberi peluang mengemukakan representasi kepada MyCC sebelum keputusan akhir dibuat berdasarkan maklum balas yang diterima serta bukti sepanjang siasatan.
Menurutnya, antara bukti yang ditemukan ialah penyelarasan dan penyediaan dokumen tender secara berpusat, pertukaran maklumat termasuk cadangan harga bidaan serta perkongsian kewangan.
“MyCC turut menemukan bukti perkongsian sumber manusia antara perusahaan terbabit, yang menjadi antara aspek diteliti dalam siasatan berhubung dakwaan tipuan bida itu,” jelasnya.
Sementara itu, Armizan berkata, secara keseluruhan MyCC mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap 58 syarikat berkaitan tipuan bida menerusi keputusan cadangan dan keputusan akhir, dengan penalti berjumlah RM98.49 juta.
Katanya, MyCC turut menyiasat 510 syarikat yang disyaki terbabit dalam kegiatan sama, melibatkan tender bernilai lebih RM3 bilion dalam sektor awam dan swasta.
“Usaha penguatkuasaan itu bertujuan menangani amalan anti persaingan yang boleh menjejaskan proses perolehan, sekali gus memastikan persaingan yang lebih adil dalam kalangan perusahaan yang menyertai tender,” ujarnya.-UTUSAN











