Penstrukturan semula akaun KWSP imbangi kehidupan rakyat

Penstrukturan semula akaun KWSP imbangi kehidupan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan inisiatif Penstrukturan Semula Akaun KWSP berkuat kuasa 11 Mei ini dilihat tepat pada masanya bagi menambah baik pendapatan persaraan di samping memenuhi keperluan kitaran hidup pencarum.

Sejurus pengumuman tersebut, pelbagai lapisan masyarakat menyambut baik keputusan KWSP itu kerana dapat membantu rakyat yang terkesan dengan banyak cabaran ekonomi ketika ini.

Ramai melihat penstrukturan semula akaun ini mengikut keperluan semasa pencarum yang berdepan kenaikan kos sara hidup, pertumbuhan gaji yang rendah serta peningkatan jumlah orang bekerja sendiri.

Namun masih terdapat segelintir pihak tidak memahami apakah tujuan penstrukturan semula akaun ahli KWSP yang melibatkan sebanyak 16.07 juta orang termasuk 8.52 ahli aktif yang mewakili 50 peratus daripada 17.03 juta tenaga buruh Malaysia seperti dilaporkan pada akhir 2023.

Jadi apakah maksud sebenar pengumuman KWSP tersebut?

Bermula 11 Mei ini, akaun ahli akan distruktur semula daripada dua akaun iaitu Akaun 1 dan Akaun 2 kepada tiga akaun.

Perincian tiga akaun adalah seperti berikut:
1. Akaun Persaraan untuk mengumpul simpanan sebagai pendapatan semasa persaraan.
2. Akaun Sejahtera untuk menangani keperluan kitaran hayat yang menyumbang kepada kesejahteraan semasa persaraan.
3. Akaun Fleksibel sebagai akaun baharu untuk menyediakan fleksibiliti untuk keperluan kewangan jangka pendek. Ia boleh difahami bahawa simpanan dalam akaun ini boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli.

Ini bermakna selepas 11 Mei nanti, semua caruman akan diperuntukkan ke dalam akaun baharu mengikut pecahan berikut:
    * 75 peratus ke dalam Akaun Persaraan.
* 15 peratus ke dalam Akaun Sejahtera.
* 10 peratus ke dalam Akaun Fleksibel (yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa berdasarkan keperluan ahli).

Justeru itu, antara 12 Mei dan 31 Ogos, ahli diberi pilihan sekali sahaja untuk memindahkan sebahagian daripada baki simpanan dalam Akaun Sejahtera mereka yang sebelum ini dikenali sebagai Akaun 2 sebagai amaun permulaan ke dalam Akaun Fleksibel.

Sekiranya ahli tidak membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan, maka tiada sebarang pindahan akan dibuat dan baki sedia ada akan kekal dalam Akaun Sejahtera.

“Akaun Fleksibel akan bermula dengan caruman baharu yang akan dikreditkan ke dalam akaun ahli selepas tarikh pelaksanaan.

“Sekiranya ahli membuat pilihan untuk mempunyai amaun permulaan, pindahan amaun permulaan ke Akaun Fleksibel dan akaun-akaun yang lain (jika berkenaan) adalah berdasarkan jumlah baki yang terdapat dalam Akaun Sejahtera ahli tersebut pada tarikh permohonan pilihan dibuat oleh ahli,” kata KWSP.

Para pencarum boleh berbuat demikian secara dalam talian melalui KWSP i-Akaun atau Terminal Layan Diri (SST) di mana-mana cawangan KWSP berhampiran dengan pilihan ini hanya boleh dibuat sekali sahaja pada bila-bila masa sepanjang tempoh tersebut (12 Mei – 31 Ogos) dan tidak boleh dibatalkan.

Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains İslam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim, penstrukturan itu dilihat sebagai usaha berterusan pihak KWSP mendisiplinkan ahli dalam pengurusan kewangan mereka yang terdedah kepada cabaran ekonomi semasa.

“Justeru, penstrukturan ini memberi ruang dan peluang kepada ahli KWSP menggunakan wang simpanan KWSP dalam jumlah tertentu secara berdisiplin dan berhemah, dalam masa sama tidak menggugat wang simpanan persaraan,” katanya.

Menurutnya, Akaun Fleksibel menjadi sumber utama pencarum dengan sebanyak 10 peratus caruman diperuntukkan dalam akaun tersebut jika terdapat keperluan yang amat mendesak.

“Kalau ahli menghadapi situasi mendesak atau kecemasan dalam waktu yang pendek, para pencarum boleh mengeluarkan wang simpanan caruman mereka di KWSP bila-bila masa.
“Jadi, akaun ini menjadi sumber talian hayat bagi para pencarum mendapatkan wang mereka tanpa perlu risau tentang simpanan persaraan hari tua nanti,” katanya.

Sementara itu, pencarum yang memilih memindahkan baki Akaun Sejahtera, situasi ini terbahagi kepada dua keadaan iaitu:

Baki dalam Akaun Sejahtera adalah RM3,000 dan ke atas.
* 10/30 daripada baki dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Fleksibel.
* 5/30 daripada baki dalam Akaun Sejahtera akan dipindahkan ke Akaun Persaraan.
* 15/30 akan dikekalkan dalam Akaun Sejahtera.

Baki dalam Akaun Sejahtera adalah kurang RM3,000.                                                                                                                                                                          * Akaun Sejahtera yang mempunyai baki RM1,000 dan ke bawah, semua amaun boleh dipindahkan ke Akaun Fleksibel.                                                                 * Akaun Sejahtera yang mempunyai baki melebihi RM1,000 dan tidak melebihi RM3,000, amaun yang dipindahkan ke Akaun Fleksibel adalah sehingga                  RM1,000 manakala baki selebihnya adalah kekal dalam Akaun Sejahtera.

Ahli yang mempunyai baki kurang RM1,000 dalam Akaun Sejahtera boleh memindahkan sehingga jumlah baki yang tersedia sahaja dan sebarang lebihan, jika ada, akan terus kekal dalam akaun tersebut.

Perbezaan dalam kaedah agihan ini adalah untuk membolehkan ahli yang mempunyai baki simpanan rendah untuk turut mempunyai jumlah permulaan yang bermakna dalam Akaun Fleksibel mereka.

KWSP menetapkan empat syarat pengeluaran Akaun Fleksibel iaitu terbuka kepada semua ahli sama ada warga Malaysia atau bukan, belum mencapai usia 55 tahun, mempunyai simpanan dalam akaun dan had pengeluaran minimum RM50.

Kaedah pengeluaran boleh dilakukan secara dalam talian melalui KWSP i-Akaun atau di pejabat KWSP berhampiran dan bayaran dibuat dalam tempoh tujuh hari bekerja.

“Ahli boleh membuat pengeluaran daripada Akaun Fleksibel pada bila-bila masa, tertakluk kepada amaun minimum pengeluaran sebanyak RM50,” kata KWSP. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN