Penjawat awam tolong jelaskan apa Kerajaan Madani bantu rakyat

Penjawat awam tolong bantu jelaskan apa Kerajaan Madani bantu rakyat – Anwar

ANWAR Ibrahim ketika beramah mesra dengan penjawat awam pada majlis perhimpunan bulanan JPM di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semua penjawat awam diminta membantu kerajaan untuk memberikan penjelasan kepada rakyat berhubung segala langkah yang sudah diambil demi membantu rakyat khususnya dalam menangani peningkatan sara hidup.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, walaupun negara menghadapi kekangan kewangan, namun kerajaan tidak sekali-kali meminggirkan masalah dihadapi rakyat seolah-olah kerajaan tidak faham dan tidak bersikap prihatin.

“Soal kritikan itu biasa, tetapi untuk mengatakan kita tidak faham, tidak prihatin kepada rakyat tidak betul. Jadi saya minta saudara (penjawat awam) tolong jelaskan.

“Walaupun penjawat awam tidak semestinya campur politik, tapi ini soal dasar kerajaan dan bagi fakta, kalau tidak ia seolah-olah kita tidak buat apa-apa.

“Ada yang mengatakan sejak Kerajaan Madani tidak ada apa pun dilakukan, dan sebagai ‘malaun’, (akan mengiyakan) ‘ya benar’. Sebab itu saya sengaja nak ulang kenyataan dan fakta ini (bantuan rakyat),” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan warga Jabatan Perdana Menteri, di sini hari ini.

Menurut Anwar, walaupun kerajaan secara keseluruhannya mempunyai hasrat dan kesungguhan melaksanakan beberapa program perubahan tatakelola tadbir urus negara, ia tidak bermakna kerajaan mengenepikan keperluan memberi bantuan secara langsung bagi kalangan memerlukan.

Lebih mengecewakan, kata beliau, ada pihak membuat analitik menerusi media sosial seolah-olah tidak ada perbandingan antara usaha kerajaan sekarang dengan terdahlulu.

Katanya, langkah penyasaran subsidi perlu dilakukan supaya negara tidak terus menanggung kerugian berbilion ringgit akibat pengaliran wang ke luar negara kerana rakyat negara jiran ‘memunggah’ minyak petrol hanya kerana harga petrol lebih murah di negara ini dengan pemberian subsidi.

Begitu juga dengan penyelarasan subsidi elektrik yang hanya melibatkan 15 peratus kumpulan tertinggi dan langkah kerajaan memperkenalkan cukai perkhidmatan dengan banyak pengecualian diberikan kepada sektor tertentu.

“Jangan lupa pada tahun 2021, 2022 sebelum pertukaran kerajaan, harga ayam RM13 satu kilogram (kg), sekarang jauh lebih rendah sekitar RM9. Minyak masak 5 kg, kadang-kadang kawan pembangkang dia bising, saya ingat dia lupa masa dia jaga, harga minyak masak ketika itu RM45-RM55 per kg, sekarang sekitar RM27.

“Telur ayam, heboh dahulu, sampai tidak ada telur, sekarang stabil dan kita telah guna penyelarasan subsidi, bayangkan harga ayam turun ketimbang dua tahun lalu tanpa bantuan harga siling, makna kita boleh selamatkan RM1 bilion hanya pengapungan ayam dalam satu tahun,” katanya.

Di samping itu, Anwar berkata, kerajaan meneruskan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) malah peruntukannya ditambah pada tahun ini berjumlah RM10 bilion berbanding tahun sebelumnya RM8 bilion.

Selain itu, katanya, bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) meningkat tinggi lima kali ganda pada tahun ini iaitu peruntukan sebanyak RM700 juta berbanding RM130 juta pada 2023.

“Penerima SARA pada 2023 hanya 210,000 miskin tegar, tetapi pada 2024 kita tingkat kepada miskin tegar yang dapat STR dan tambah golongan miskin dengan penerima manfaat 700,000.

“Kadar bantuan pula meningkat kepada RM1,200 pada tahun ini berbanding RM600 (tahun lepas),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN