Parti penyandang dikekalkan jika PRK - Pas Perak - Utusan Malaysia

Parti penyandang dikekalkan jika PRK – Pas Perak

RAZMAN Zakaria (tengah) beramah mesra dengan tetamu pada jamuan hari raya anjuran beliau di Bagan Serai hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI: Pemimpin Pas Perak membayangkan status quo parti Bersatu akan dikekalkan untuk bertanding sekiranya berlaku pilihan raya kecil (PRK) di kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Bukit Gantang.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria bagaimanapun berkata, perkara itu akan diputuskan oleh peringkat atasan partinya dan Bersatu.

“Yang ini saya tidak boleh beri komen, sebab ini keputusan di peringkat atas.

“Biasanya dasar parti incumbent (parti penyandang). Sebagai contoh Kuala Kangsar dikosongkan, mungkin calonnya Bersatu lah,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita pada jamuan hari raya anjuran beliau sendiri selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol di sini hari ini.

Razman bagaimanapun melihat pengosongan kerusi itu bukan sesuatu yang mudah kerana akan melibatkan pelbagai proses undang-undang.

Pada masa sama, beliau mengalu-alukan jika benar sekiranya kerajaan Pusat mahu memberikan peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Pas pusat semalam menegaskan parti itu akan meneliti terlebih dahulu isi kandungan Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan kepada Ahli Parlimen Pembangkang yang akan dikemukakan oleh Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu, beliau turut meminta kerajaan Perak menilai semula kenaikan tarif air di negeri itu berlandaskan prinsip bahawa kerajaan tidak sepatutnya berniaga atas keperluan rakyat.

Sebelum ini, Bersatu membuat pindaan Perlembagaan parti itu yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak yang bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.

Pada awal bulan ini Jabatan Pendaftaran Pertubuhan meluluskan pindaan tersebut sekali gus timbul anggapan kononnya akan berlaku PRK susulan enam ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli) dan Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman (Labuan). – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN