Tiada isu Razman digugurkan Pesuruhjaya Pas Perak

Tiada isu Razman digugurkan Pesuruhjaya Pas Perak

Zafarulazhan Zan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Pelantikan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad sebagai Pesuruhjaya Pas Perak menggantikan Razman Zakaria akan mengukuhkan Pas dan Perikatan Nasional (PN) di Perak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kampong Gajah, Zafarulazhan Zan berkata, pelantikan Idris sebagai Pesuruhjaya Pas negeri manakala ADUN Gunung Semanggol, Razman sebagai Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) akan memberikan kelebihan kepada PN di Perak.

“Tiada isu mengenai pelantikan Idris yang menggantikan Razman sebagai Pesuruhjaya Pas Perak. Pimpinan Pusat lebih mengetahui yang terbaik untuk negeri ini kerana mereka telah lama dalam politik dan ada strategi terbaik.

“Pada pendapat saya, Idris ada aura tersendiri sebagai Naib Presiden Pas dan sudah lama berjuang dalam parti sementara Razman pernah menjadi Exco dalam kerajaan negeri sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Menurutnya, pengguguran Razman sebagai Pesuruhjaya Pas Perak akan membolehkan beliau lebih fokus memperjuangkan isu rakyat semasa sidang DUN Perak nanti selepas selesai tempoh penggantungan.

Pada Mac lalu, Razman dilapor telah direhatkan daripada tugasnya sebagai Pesuruhjaya Pas Perak.

Keputusan tersebut didakwa dibuat oleh kepimpinan Pas Pusat susulan beberapa isu yang melibatkan pemimpin itu termasuk mengaitkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dengan Kumpulan YTL Corporation Berhad (YTL).

Pada muktamar parti itu bulan lalu, Pas mengumumkan pelantikan Idris sebagai Pesuruhjaya Perak menggantikan Razman yang dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat.

Razman sebelum ini digantung daripada menghadiri DUN Perak selepas dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN pada 4 Disember tahun lalu kerana didakwa mengeluarkan kenyataan palsu pada 2 Disember tahun lalu berhubung satu insiden membabitkan pengi­baran bendera negara China di Teluk Intan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN