Wan Ahmad Fayhsal nafi bertanding Parlimen Bagan Serai - Utusan Malaysia

Wan Ahmad Fayhsal nafi bertanding Parlimen Bagan Serai

WAN AHMAD FAYHSAL WAN AHMAD KAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menafikan laporan akhbar beliau akan bertanding di Parlimen Bagan Serai dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurutnya, setakat ini, belum ada keputusan dibuat berhubung calon dan kerusi yang akan ditanding parti itu dalam PRU-15.

“Laporan yang disebarkan adalah tidak benar. Pihak parti di mana-mana peringkat tidak pernah membuat apa-apa keputusan berkenaan mana-mana kerusi.

“Khidmat kepada rakyat tetap menjadi keutamaan seluruh jentera parti dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya dalam akaun Twitter beliau semalam.

Akhbar ini menerusi berita dalam talian menyiarkan dakwaan Wan Ahmad Fayhsal akan bertanding di Parlimen Bagan Serai dalam PRU-15 selepas mendapat restu daripada semua peringkat parti termasuk Presiden selepas dilamar oleh Bersatu Bahagian Bagan Serai untuk mewakili Perikatan Nasional (PN) di kerusi tersebut.

Dakwaan berkenaan mencetuskan tanda tanya mengenai kedudukan penyandang, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali, yang menang PRU-14 atas tiket Barisan Nasional (BN) namun kemudiannya menyertai Bersatu.

Dalam PRU-14, Noor Azmi menewaskan calon Pas dan PKR dengan majoriti 172. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN