Perubahan politik negara hanya guna kaedah pilihan raya, Parlimen - Pas Perak - Utusan Malaysia

Perubahan politik negara hanya guna kaedah pilihan raya, Parlimen – Pas Perak

RAZMAN ZAKARIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perubahan politik negara hanya sesuai diterjemahkan menerusi kaedah pengundian dalam pilihan raya atau di Parlimen.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, Pas sebagai sebuah parti politik sah dan kini bersama gelombang kebangkitan rakyat melalui Perikatan Nasional (PN) konsisten berjuang mendapatkan kuasa dengan cara politik matang dan sejahtera.

Jelas beliau, perubahan politik boleh berlaku pada bila-bila masa melalui jalan demokrasi yang terbuka.

Justeru, beliau meminta jangan menjadikan politik balas dendam sebagai bayangan perjalanan politik terhadap kekecewaan lampau.

“Ini semua tidak baik untuk masa depan rakyat dan negara. Semoga negara Malaysia terus stabil dan suasana politik matang menjadi budaya rakyat sama ada parti politik kerajaan mahupun pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Pas Perak akan terus memaksimumkan ruang demokrasi yang ada demi mendaulatkan Islam dan kestabilan politik untuk kesejahteraan rakyat.

Sebaliknya, jelas beliau, sebarang salah guna kuasa dan memperalatkan badan undang-undang negara untuk mengekang saingan politik adalah tindakan mundur dan tidak bertamadun.

Selaras itu, Pas Perak menyeru kerajaan agar bersifat matang dan menumpukan usaha membangunkan negara.

“Memberi fokus kepada perpaduan, meningkatkan ekonomi, membantu rakyat yang tertekan dengan kos sara hidup serta kejatuhan mata wang negara adalah tugas utama kerajaan,” katanya.

Menurutnya, bertindak seperti pembangkang dalam keadaan berkuasa hanya akan menimbulkan ketidakstabilan politik negara.

Katanya, segala tindakan zalim dan menekan suara rakyat hanya akan meningkatkan suhu politik negara yang sememangnya sudah tidak menentu.

Pada masa sama, beliau meminta kerajaan menyerahkan tugas penguatkuasaan kepada pihak berkuasa yang sedia ada.

“Berikan kepada mereka kebebasan seluasnya bukan dengan menyerahkan ‘apa yang dikehendaki’ pemerintah untuk mereka mencari atau mencipta bukti terhadap musuh politik.

“Rakyat sedang memerhati situasi yang berlaku, begitu juga Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), masing-masing mempunyai aspirasi perjuangan politik yang bersama kebangkitan rakyat,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya