PUTRAJAYA: “Mana awak tahu, siapa sumber awak?” kata Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil.
Itu respon Fahmi berhubung laporan sebuah portal berita kononnya Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming akan diangkat sebagai calon DAP untuk Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Bharu (KKB).
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, setakat ini, nama calon belum dimuktamadkan lagi.
“Belum ada selagi tidak diumumkan. Belum ada tapi kita tunggu Insya-Allah malam ini, sekitar 9.30 hingga 10 malam di Kuala Kubu Bharu,” katanya.
Menurut sumber, nama Pang Sock Tao akan diumumkan secara rasmi di pusat khidmat wakil rakyat DAP di Taman Gamelan, KKB malam ini.
Wanita 31 tahun dari Ampang, Selangor, itu pernah bertugas penyampai berita untuk Ubah TV, saluran video milik DAP.
Sebelum ini, Pengarah pilihan raya kecil Pakatan Harapan (PH) Ng Sze Han berkata, sepuluh nama berpotensi disenarai pendek dan dimuktamadkan dalam mesyuarat kepimpinan tertingginya malam tadi.
PRK DUN KKB diadakan berikutan kematian Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat barah.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 11 Mei ini sebagai hari pengundian dan Sabtu ini sebagai hari penamaan calon. – UTUSAN










