KUALA SELANGOR:Kerajaan digesa segera campur tangan bagi menyelesaikan isu harga padi yang rendah di Anjung Utara Selangor (Sekinchan) dan kawasan Sawah Sempadan, Tanjong Karang, di sini.
Penyelaras Parlimen Tanjong Karang, Datuk Ng Suee Lim berkata, beliau telah menghantar surat berkaitan isu itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu kelmarin.
Menurut Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor itu, harga belian padi oleh pengilang amat rendah sehingga menjejaskan pendapatan pesawah apatah lagi menjelang sambutan Aidilfitri.
“Harga berkenaan didapati berbeza berbanding sebelum ini iaitu RM1,600 kepada RM1,450 tan metrik.
“Keadaan itu sekali gus menimbulkan keluhan pesawah kerana harganya jatuh secara tiba-tiba dan ketara hingga menyebabkan mereka terjejas teruk,” katanya pada sidang akhbar petang semalam.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan lebih 800 pesawah di Kampung Sawah Sempadan mendesak kerajaan supaya menaikkan harga lantai padi dari RM1,350 kepada RM1,600 bagi setiap tan metrik.
Selain itu, mereka menuntut penetapan potongan pemutuan padi pada kadar 17 peratus berbanding 20 peratus ketika ini.
Jelas Suee Lim, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) diminta menyelaraskan harga belian padi di semua kawasan seluas 18,000 hektar berkenaan.
“Jika tidak segera diatasi, saya bimbang pendapatan lebih 9,000 pesawah di kawasan itu terjejas terutama dalam keadaan kos input pertanian turut semakin tinggi dan cuaca panas.
“Selain itu, ada pesawah berdepan kemerosotan pengeluaran hasil sehingga hanya memperoleh tiga tan metrik sehektar pada musim penanaman kali ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, kata beliau, kerajaan turut disaran menyemak semula harga beras putih tempatan (BPT) yang kekal pada RM26 setiap 10 kilogram (kg) sejak 2008.
“Harga itu dianggap rendah hingga menyebabkan pengilang terpaksa menanggung kerugian. Harga siling BPT sewajarnya dinaikkan sekurang-kurangnya kepada RM34 bagi 10kg bagi menjamin masa depan rantaian pengeluaran makanan itu,” jelasnya.
Tambah Suee Lim, pengilang tidak dapat menawarkan harga belian padi lebih munasabah kepada pesawah dan menjual pada harga RM26.
“Ini menyebabkan pengilang tidak menghadkan penjualan BPT, sedangkan jika mereka menjual BPI boleh mencecah sehingga RM40 setiap 10 kg. Satu solusi menang-menang harus difikirkan dan sudah sampai masanya harga BPT diapungkan,” katanya. – UTUSAN










