PETALING JAYA: Langkah proaktif kerajaan dalam mendorong mekanisasi dalam industri sawit tempatan semakin diperkukuhkan dengan pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
MPOB telah mengimplementasikan pelbagai inisiatif termasuk penyelidikan dan pembangunan dalam bidang mekanisasi ladang untuk meningkatkan kecekapan operasi ladang sawit dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja buruh.
Teknologi kejuruteraan ladang yang telah dikomersialkan dan digunakan oleh syarikat-syarikat perladangan serta pekebun kecil telah memberi sumbangan penting kepada kecekapan kerja-kerja penyelenggaraan ladang, penuaian, dan pengangkutan buah sawit di ladang.
Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, kerajaan menerusi agensi berkenaan telah membentuk ekosistem dan insentif yang saling berkait termasuk penubuhan Konsortium Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi Sawit (MARCOP), pengendalian Kursus Operasi Mekanisasi Ladang (KOML), dan insentif galakan mekanisasi untuk pekebun kecil.
“Dana sebanyak RM30 juta daripada kerajaan dan sumbangan sebanyak RM30 juta daripada pihak industri disediakan untuk meningkatkan penyelidikan dan pengkomersialan teknologi mekanisasi ladang sawit.
“Inisiatif ini memberi tumpuan kepada penyelidikan mekanisasi dan automasi dalam rangka Industri Revolusi 4.0 (IR 4.0), termasuk penggunaan teknologi seperti dronobot, dan sensor yang akan meningkatkan teknologi automasi dan inovasi jentera penuaian buah sawit,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kementerian akan bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi menggalakkan pelbagai inovasi, automasi dan mekanisasi bagi industri sawit tempatan.
“Kemajuan mekanisasi ladang juga memberi impak kepada 214,680 orang pekebun kecil sawit persendirian yang mengusahakan 822,073 hektar tanaman sawit di seluruh negara bagi meningkatkan produktiviti ladang.
“Kerajaan melalui MPOB menawarkan Skim Diskaun Cantas (SKIDIC) bagi pembelian setiap unit Cantas oleh pekebun kecil dengan pemberian rebat sebanyak RM1,000 bagi menggalakkan penggunaan alat penuai buah sawit bermotor,” ujarnya.
Mengulas lanjut, MPOB telah menubuhkan Pusat Latihan Sawit Malaysia (PLASMA) yang menawarkan program latihan bagi menyediakan tenaga kerja mahir dan separa mahir untuk berkhidmat di sektor perladangan sawit.
“PLASMA telah memperkenalkan Kursus Operasi Mekanisasi Ladang (KOML) untuk memberi latihan kemahiran berkaitan aspek mekanisasi ladang khusus untuk belia tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing di sektor perladangan,” katanya.
Johari turut berkata, pengenalan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) boleh mengatasi masalah kekurangan penuai sawit bagi memenuhi keperluan sektor perladangan sawit negara seluar 5.65 juta hektar.
Sejajar dengan era Revolusi Industri 4.0, kerajaan melalui MPOB akan terus mempertingkatkan teknologi dan inovasi mekanisasi ladang untuk memastikan industri sawit antara sektor ekonomi utama yang menjana pendapatan negara. – UTUSAN









