Mohd Shukri dibebas dengan jaminan SPRM - Azam Baki

Mohd Shukri dibebas dengan jaminan SPRM – Azam Baki

SEBAHAGIAN pengamal media berhimpun di luar bangunan SPRM bagi mengikuti perkembangan kes siasatan rasuah membabitkan Menteri Besar Perlis. - UTUSAN/MOHD HUSNI MOHD NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas selesai dirakam keterangan hampir lapan jam sejak pagi tadi.

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebentar tadi.

“Betul lah seperti itu (dibebaskan dengan jaminan),” katanya.

Katanya, kenyataan lanjut mengenai perkara itu akan dikeluarkan Bahagian Komunikasi Korporat SPRM kemudian.

Bagaimanapun, setakat pukul 6.10 petang tadi, kelibat Mohd. Shukri belum kelihatan dan tidak diketahui bila beliau akan keluar dari Ibu Pejabat SPRM.

Terdahulu, Mohd Shukri tiba kira-kira 9.50 pagi di Ibu Pejabat SPRM untuk dirakam kenyataan berhubung dakwaan salah guna kuasa.

Sebuah portal berita melaporkan, menteri besar itu dibebaskan dengan jaminan selepas SPRM berpuas hati dengan kerjasama yang diberikannya pada sesi hari ini.

Difahamkan, Mohd Shukri dipanggil ke ibu pejabat SPRM bagi membantu siasatan berhubung beberapa dakwaan membabitkan beliau dan anaknya, yang ditahan dan direman bersama beberapa yang lain minggu lepas.

Minggu lalu, SPRM menahan anak Mohd Shukri dan lima yang lain bagi membantu siasatan berkaitan penyerahan dokumen dan tuntutan palsu membabitkan RM600,000 sejak dua tahun lalu.

Kes berkaitan pemalsuan dokumen untuk membuat tuntutan palsu sedang disiasat selepas projek membabitkan kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan, pembekalan dan perkhidmatan dari 2022 hingga kini tidak dijalankan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×