Maklum status kesihatan sebelum sertai aktiviti sekolah- JPNS

Maklum status kesihatan sebelum sertai aktiviti sekolah- JPNS

KELUARGA Allahyarham Nuqman Naufal Shamsul Fadzli berada Unit Perubatan Forensik, Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di Kuala Pilah, semalam. - UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) memohon semua murid yang terlibat bagi aktiviti dalam dan luar bilik darjah perlu menjelaskan status kesihatan mereka kepada guru bertugas sebelum aktiviti tersebut.

Pengarah JPNS, Datuk Dr. Roslan Hussin berkata, langkah berkenaan penting lebih-lebih lagi bagi aktiviti yang melibatkan fizikal.

Menurut beliau, bagi pihak sekolah dan jabatan, semua prosedur telah dilaksanakan termasuk memastikan semua peralatan dan cuaca diambil kira oleh pengetua dan guru besar sekolah sebelum aktiviti dilaksanakan.

“Di samping itu, pihak ibu bapa dan penjaga murid dipohon memaklumkan kepada pihak sekolah mengenai status kesihatan anak mereka bagi menggelakkan maklumat berkaitan tidak diketahui oleh pihak sekolah,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau mengulas insiden seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar di Gentam, di Kuala Pilah yang merupakan pesakit jantung, meninggal dunia selepas menyertai aktiviti merentas desa, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, pelajar berkenaan, Nuqman Naufal Shamsul Fadzli, 14, berasal dari Nilai, telah menyertai acara tersebut serta rebah semasa menghampiri garis penamat sekitar 50 meter.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Deputi Superintenden Syahrul Anuar Abdul Wahab, pelajar berkenaan mempunyai kad rawatan bagi penyakitnya itu dari Institut Jantung Negara (IJN) dan sentiasa dibekalkan dengan ubat-ubatan daripada IJN pada setiap masa.

“Kes disiasat sebagai mati mengejut,” kata Syahrul Anuar.

Dalam pada itu, Roslan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut termasuk sama ada status kesihatan murid atau pelajar yang terlibat dimaklumkan kepada guru bertugas.

“Siasatan masih dijalankan selain dapatan awal kematian berpunca daripada kesihatan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN