JPNS siasat dakwaan sijil SPM pelajar ditahan kerana tidak bayar wang PIBG

JPNS siasat dakwaan sijil SPM pelajar ditahan kerana tidak bayar wang PIBG

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) menjalankan siasatan berhubung dakwaan penahanan sijil dan hadiah milik seorang pelajar lelaki yang memperoleh keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah menengah di Senawang di sini.

JPNS dalam kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum kandungan tular di media sosial berkaitan isu berkenaan dan siasatan dilakukan bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan menyeluruh.

“JPNS menegaskan bahawa pihak sekolah tidak dibenarkan menahan sijil atau dokumen rasmi murid atas alasan kegagalan membuat sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Sumbangan PIBG adalah bersifat sukarela dan tidak boleh dijadikan syarat dalam sebarang urusan melibatkan murid,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, JPNS memaklumkan akan terus memperkukuh aspek pemantauan selain memberi peringatan kepada semua pentadbir sekolah agar sentiasa mematuhi garis panduan serta peraturan yang ditetapkan.

Katanya, langkah tersebut bagi memastikan kebajikan dan kepentingan murid sentiasa menjadi keutamaan selaras dengan aspirasi sistem pendidikan yang adil, inklusif dan berfokuskan kesejahteraan murid.

Isu tersebut tular selepas seorang individu mendakwa adik sepupunya yang memperoleh keputusan 9A hanya menerima sampul kosong tanpa sijil rasmi selepas menaiki pentas penganugerahan.

Menerusi hantaran di TikTok, individu berkenaan mendakwa sijil SPM dan hadiah wang tunai berjumlah RM250 ditahan oleh pihak sekolah ekoran tunggakan sumbangan PIBG sebanyak RM500 sejak tingkatan satu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN