GUA MUSANG: Kementerian Pendidikan tidak akan mengambil tindakan terhadap pentadbir sekolah susulan kejadian seorang pelajar Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan meninggal dunia selepas rebah semasa menyertai acara merentas desa, Jumaat lalu.
Ketua Pengarahnya, Azman Adnan berkata, ini kerana acara itu dilaksanakan mengikut garis panduan sedia ada.
“Acara larian merentas desa ada garis panduan sedia ada dan tidak timbul soal tindakan perlu diambil terhadap pentadbir sekolah.
“Program merentas desa yang dilaksanakan itu adalah anjuran pihak sekolah dan pelajar berkenaan rebah kemudian meninggal dunia ketika menyertai acara berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas Program Jelajah Pendidikan Madani Sekolah Murid Orang Asli di Kampung Kuala Koh, Pos Lebir, Gua Musang di sini semalam.
Sebelum ini media melaporkan, seorang pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar di Gentam disahkan meninggal dunia selepas rebah ketika menyertai aktiviti merentas desa, Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, pelajar berkenaan, Nuqman Naufal Shamsul Fadzli, 14, berasal dari Nilai, telah menyertai acara tersebut sejauh tujuh kilometer. – UTUSAN










