PETALING JAYA: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengadakan pertemuan dengan pasukan peguamnya berhubung prosiding saman fitnah terhadap dakwaan beliau melarang takbir dan bacaan qunut nazilah ketika penganjuran Minggu Solidariti Palestin di sekolah seluruh negara.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, dakwaan yang tular itu disifatkan sebagai satu fitnah berat dan tidak bertanggungjawab.
Katanya, tindakan undang-undang tersebut diambil bagi membersihkan namanya daripada tuduhan tidak berasas dan untuk memberi pengajaran kepada pihak tertentu agar tidak sewenang-wenangnya menyebarkan fitnah.
“Tindakan ini bertujuan membersihkan nama saya dan menjadi pengajaran kepada semua pihak supaya tidak menyebarkan fitnah tanpa asas.
“Terima kasih kepada barisan peguam saya yang telah membuat segala persiapan bagi prosiding saman fitnah ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Pada 2023, akhbar ini melaporkan, Fadhlina telah mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail serta portal Harakahdaily berhubung dakwaan kononnya takbir dan bacaan doa qunut nazilah tidak dibenarkan ketika penganjuran Minggu Solidariti Palestin di sekolah seluruh negara.
Fadhlina berkata, tindakan saman fitnah terhadap kedua-dua pihak itu bertujuan membersihkan namanya daripada tuduhan yang disifatkan tidak berasas dan tidak wajar. – UTUSAN










