KPM terima banyak permohonan daftar SABK

KPM terima banyak permohonan daftar SABK

AMINUDDIN Hassim (dua dari kiri) menunjukkan dokumen MoU yang ditandatangani bersama Shaifulfazlee Mohamad (dua dari kanan) di Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab, Masjid Tanah, Melaka, hari ini. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerima banyak permohonan daripada Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Agama Negeri (SAN) dan swasta untuk didaftarkan sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

Ketua Setiausaha KPM, Datuk Aminuddin Hassim berkata, peningkatan permohonan itu didorong oleh kelebihan bantuan modal fizikal, guru terlatih dan pentadbiran yang disediakan oleh kerajaan.

Menurutnya, setakat ini jumlah SABK terdapat di seluruh negara kini bertambah sebanyak 234 buah sekolah yang telah diluluskan oleh KPM.

Katanya, permohonan yang banyak diterima daripada sekolah-sekolah agama dari Pantai Timur yang akan dinilai dengan terperinci satu persatu.

“Bagaimanapun untuk mendaftarkan SAR, SAN dan sekolah agama swasta sebagai SABK perlu melalui satu proses yang melibatkan peruntukan undang-undang dan dasar KPM sedia ada.

“Kadang-kadang kita akan lalui proses yang cepat dan kadang-kadang lambat dan terpaksa ditangguhkan atas isu-isu berbangkit.

“Ia berkaitan status tanah, warga sekolah tidak bersedia dan pelbagai lagi perkara yang perlu diberi pertimbangan oleh KPM,” ujarnya berucap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi pendaftaran Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab Melaka sebagai SABK, di sini hari ini.

Pada majlis tersebut KPM diwakili Aminuddin dan Pengarah Pendidikan Islam, Omar Salleh manakala Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab diwakili Pengerusi Jemaah Pengurusan Sekolah, Prof. Datuk Dr. Mizan Hitam dan Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad.

Mengulas lanjut Aminuddin berkata, permohonan untuk menerima bantuan di bawah SABK ini sebenarnya perlu melalui saringan ketat di peringkat kementerian.

“Ia bukanlah proses ‘cap dan lulus’ semata-mata kerana setiap permohonan wajib dibentangkan dan diperhalusi, bermula dalam Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan seterusnya ke peringkat tertinggi iaitu Mesyuarat Jawatankuasa Induk Pendaftaran SABK,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN