SHAH ALAM: Kira-kira 1,000 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Tanjung, Sijangkang terpaksa memulakan sesi persekolahan tahun baharu secara Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR).
Pembukaan sekolah tersebut ditangguhkan sehingga hujung bulan ini atau awal Februari berikutan kerja-kerja baik pulih struktur yang rosak akibat dibadai ribut dan serta puting beliung pada Oktober tahun lalu masih belum siap sepenuhnya.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ketika ini hanya tiga sekolah sahaja yang kembali beroperasi seperti biasa selepas kerja pembaikannya siap lebih awal daripada jadual.
“Tiga sekolah bermula dan diteruskan sesi persekolahan bermula hari ini. Satu sekolah sahaja yang akan beroperasi pada Februari nanti.
“Saya ucapkan terima kasih kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) yang memastikan kerja pembaikan dapat siap awal. Terima kasih juga kepada Kerajaan Selangor yang memberi tumpuan kepada keempat-empat sekolah itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Pembukaan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (Cina) Ladang Regent, Elmina, hari ini.
Minggu lalu, Utusan Malaysia melaporkan lebih 5,000 pelajar membabitkan lima buah sekolah dekat Sijangkang, di sini yang rosak teruk akibat dibadai ribut dan puting beliung dijangka kembali memulakan sesi persekolahan 2026 pada hari ini.
Kesemua terlibat adalah pelajar SK dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan, SK Jalan Tanjung serta Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan.
Kerja-kerja pembaikan bagi sekolah-sekolah itu melibatkan kos sebanyak RM10.1 juta yang diluluskan oleh Kementerian Pendidikan.
Jelas Fadhlina, ketika ini murid di SK Jalan Tanjung perlu melalui pembelajaran secara PdPR sehingga kerja pembaikannya selesai.
“Februari akan selesai dan murid boleh kembali ke sekolah seperti biasa,” ujarnya. – UTUSAN










