SHAH ALAM: Tiga pekerja parah selepas terkena letupan ketika melakukan ujian tekanan gas nitrogen dekat sebuah kilang peralatan keselamatan kebakaran dan elektrik dekat Kota Kemuning, di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata, pada kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu kesemua mangsa adalah lelaki warga tempatan berusia 30 hingga 50 tahun.
Menurutnya, dua mangsa didapati berada dalam keadaan separa sedar sementara seorang lagi dilaporkan kritikal.
“Komander operasi melaporkan berlaku letupan gas nitrogen ketika ujian tekanan dilakukan oleh pekerja kilang berkenaan yang mengakibatkan kecederaan kepada tiga orang.
“Pasukan Hazmat dikejarkan ke tempat kejadian bagi memastikan tiada ancaman berbahaya di lokasi. Bagaimanapun letupan tidak melibatkan struktur bangunan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Tambahnya, dua daripada mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang dan seorang lagi dibawa ke Hospital Shah Alam, di sini.
Terdahulu Ahmad Mukhlis memaklumkan bomba menerima panggilan kira-kira pukul 10.14 pagi tadi sebelum menggerakan sepasukan 12 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam ke tempat kejadian.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan keadaan di kilang terbabit terkawal dan ancaman bahaya diselesaikan sebelum operasi ditamatkan kira-kira pukul 12.30 tengah hari. – UTUSAN










