Kontraktor rugi RM625,00O ditipu sindiket pelaburan tidak wujud - Utusan Malaysia

Kontraktor rugi RM625,00O ditipu sindiket pelaburan tidak wujud

MAZLI MAZLAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang kontraktor di negeri ini mengalami kerugian lebih RM625,000 setelah disyaki menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan tidak wujud, Februari lalu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, mangsa lelaki berusia 41 tahun itu mendakwa mula menerima tips berkaitan pelaburan Goldman Sachs Asia menerusi WhatsApp sejak 2013 lagi.

Namun hanya pada 3 Januari tahun ini, mangsa mula dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp mengandungi maklumat pelaburan serta testimoni keuntungan diraih peserta.

Menurut beliau, melalui kumpulan WhatsApp itu sindiket tersebut meramalkan kenaikan saham Malaysia dan bersedia menanggung 75 peratus jika peserta mengalami kerugian daripada pelaburan yang dibuat.

“Siasatan awal mendapati mangsa sudah menerima WhatsApp berkaitan tips pelaburan daripada nombor telefon 018-280 7185 pada 3 Disember 2013 lagi tetapi mangsa tidak melayan mesej berkenaan.

“Kemudian pada Januari tahun ini, mangsa telah dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp bernama ‘X-1 GS (Asia) Securities Division’ yang berkongsi maklumat serta ramalan pasaran saham di Malaysia.

“Bermula 12 Februari 2024, mangsa melabur sebanyak RM625,577 dengan memindahkan wang itu ke akaun disyaki milik sindiket terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mazli menjelaskan, mangsa bagaimanapun dikeluarkan daripada kumpulan Whatsapp pada 6 April lalu sebelum membuat laporan polis 10 hari kemudian setelah gagal menghubungi syarikat tersebut.

Ujar beliau, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Terengganu sedang giat menyiasat sama ada sindiket yang menghubungi mangsa pada 2013 terlibat dengan kejadian terbaharu ini.

Selain itu, tambahnya, JSJK negeri menerima 98 laporan polis bermula 14 sehingga 21 April dengan 20 kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan melibatkan kerugian lebih RM1.3 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN