Wanita didakwa tipu penjual emas RM8,998 guna resit pembayaran palsu - Utusan Malaysia

Wanita didakwa tipu penjual emas RM8,998 guna resit pembayaran palsu

TERTUDUH (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan atas tuduhan menipu dalam pembelian emas bernilai RM8,998.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang penjual emas sehingga mendorong mangsa menyerahkan seutas rantai tangan emas bernilai RM8,998 menggunakan resit transaksi pembayaran palsu, minggu lalu.

Tertuduh, Nurwahidah Khamirrudin, 35, dari Bentong bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tuan Ruzuaini Tuan Lah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curangnya memperdayakan jurujual sebuah kedai emas, di sini, melalui penyerahan satu resit transaksi pembayaran palsu berjumlah RM8,998, sehingga mendorong mangsa menyerahkan seutas rantai tangan emas gantung Butterfly seberat 16.21 gram kepada pihak kurier untuk dihantar kepada tertuduh.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah kedai emas di Jalan Putra Square 3, Kuantan pada kira-kira pukul 10.40 pagi, 22 Julai lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun serta sebat, dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya,Siti Nabila Huda Jasmani  mencadangkan mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM7,000.

Bagaimanapun peguambela, Hakimie Ali meminta jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh hanya suri rumah manakala suaminya hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM1,300 sebulan dan turut menanggung dua anak yang masih sekolah.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 oleh seorang penjamim sementara menunggu sebutan semula kes pada 20 Ogos depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN