#KitaKawan dilancar pupuk keharmonian kaum, agama

#KitaKawan dilancar pupuk keharmonian kaum, agama

ZULKIFLI Hasan berbual bersama pemimpin pelbagai kaum dan agama selepas sesi dialog di Kompleks Islam Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) hari ini tampil melancarkan kempen #KitaKawan dalam usaha untuk memupuk keharmonian antara kaum dan agama.

Usaha julung kali itu dirasmikan oleh Timbalan Menterinya, Dr. Zulkifli Hasan selepas mempengerusikan Dialog Pemimpin Pelbagai Agama di Kompleks Islam Putrajaya di sini.

“Kempen ini akan mengajak semua lapisan rakyat agar ketepi perbezaan dan mahu terus dikekalkan perpaduan serta keharmonian,” katanya ketika ditemui pemberita.

Lebih 40 pemimpin pertubuhan bukan kerajaan tempatan mewakili gabungan daripada 300 organisasi hadir pelancaran ringkas itu dengan mereka memegang plakad #KitaKawan.

Turut serta acara julung kali ini Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, Zamri Zainal Abidin.

Warganet tempatan juga boleh mengambil bahagian bagi menjayakan usaha berkenaan dengan memuat naik hantaran bermesejkan perpaduan dan diberi tanda pagar tersebut.

Mengulas lanjut, Zulkifli menambah, buat permulaan kempen itu akan diadakan program dikenali Iftar Harmoni di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur petang esok.

“Acara anjuran Global Peace Mission dan Angkatan Belia Islam Malaysia ini juga terbuka kepada bukan Muslim untuk bersama-sama hadir berbuka puasa di masjid itu,” katanya.

Selain itu ujar beliau, pihaknya bersetuju diadakan banyak sesi dialog keharmonian antara agama dan kaum di samping pertemuan berkala bagi membincangkan isu-isu semasa.

Segala perkara berbangkit termasuk isu sensitif tambahnya, akan cuba diselesaikan telus secara kolektif malah pihaknya bersedia mendengar pelbagai pandangan ahli masyarakat.

Ini jelas Zulkifli meliputi segala idea bagaimana rakyat dapat memperkukuhkan perpaduan dan idea berkenaan akan dibawa kepada pelbagai agensi berkaitan untuk diketengahkan.

Menyentuh beberapa isu panas yang tercetus akhir-akhir ini, beliau menambah, perkara itu terserah kepada urusan polis bagi menyiasat setelah ada laporan dibuat oleh banyak pihak.

“Kami menerusi dialog hari ini bersepakat agar perlu diperbanyakkan program advokasi dan kempen kesedaran untuk memberi kefahaman yang mungkin tidak diketahui,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN