SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menyita sebuah kereta mewah terpakai dari luar negara yang disyaki dibawa masuk tanpa ada permit import (AP).
Menurut Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Tengah, Norlela Ismail, pihaknnya merampas kenderaan jenama Land Rover model Range Rover SV Auto itu bernilai kira-kira RM1,097,300 di terminal Kompleks MASKargo KLIA pada pukul 4 petang pada 25 Mac lalu.
Katanya, pemeriksaan dilakukan mendapati ia tiada lesen atau permit bagi barang larangan import bersyarat.
“Kita percaya ia diimport tanpa ada sebarang AP dikeluarkan daripada pihak Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI),” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Kenderaan import sedemikian jelasnya, perlu ada dokumentasi tersebut seperti ditetapkan Bahagian 1, Jadual Kedua, Butiran No.3 (2) Perintah Kastam (Larangan Import) 2023.
Jelasnya, Kes itu masih dalam disiasat JKDM di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 iaitu pengimportan kenderaan motor pasang siap tanpa permit.
Dalam perkembangan berasingan, menerusi Op Bersepadu bersama Zon Tengah Unit III merampas 82 gelung besi seberat 323,278 kilogram yang bernilai RM2.2 juta termasuk duti import.
Norlela berkata, rampasan dibuat susulan serbuan silakukan oleh pihaknya di sebuah gudang di Pelabuhan Barat, Pelabuhan Klang pada 19 Mac.
“Gelung besi ini diimport dari sebuah negara di Asia Timur untuk kegunaan sektor pembinaan, namun pengimport telah membuat ikrar tidak benar pada borang kastam,” ujarnya.
Kesemua dagangan terlibat telah disita untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967. – UTUSAN











