PUTRAJAYA: Kerajaan Perpaduan tidak pernah mengekang amalan kebebasan bersuara di negara ini, namun, pada masa sama tidak membiarkan kebebasan memfitnah daripada terus berleluasa.
Itu reaksi diberikan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berhubung laporan tahunan kumpulan hak asasi manusia global, Amnesty International terhadap Malaysia bagi tempoh 2023 dan 2024 yang dilancarkan semalam.
Fahmi berkata, kerajaan setakat ini tidak pernah menahan mana-mana wartawan seperti yang pernah berlaku sebelum ini.
Malah, katanya, tidak ada satu akhbar ditutup oleh pihak kerajaan dan mana-mana wartawan yang menulis laporan terus menulis laporan.
“Kita harus tahu membezakan antara kebebasan bersuaran dan kebebasan memfitnah.
“Tidak menjadi masalah untuk mengkritik kerajaan, tetapi untuk mengadakan cerita seolah-olah Perdana Menteri mempunyai penyakit kononnya, itu fitnah jahat yang dibuat oleh beberapa individu pada bulan Ramadan,” katanya.
Jelasnya lagi, kerajaan menerima pandangan daripada Amnesty International dan pada masa sama perlu ada perbezaan yang cukup jelas antara hak kebebasan bersuara dan kebebasan memfitnah,” katanya.
Amnesty International menerusi laporannya semalam mendedahkan Kerajaan Perpaduan gagal memberikan komitmen untuk menambah baik undang-undang yang mengekang kebebasan bersuara, mengancam ruang awam dan terus melanggar hak asasi manusia.
Pengarah Eksekutif Amnesty International Malaysia Katrina Jorene Maliamauv dilaporkan berkata, jika kerajaan benar-benar komited meningkatkan taraf hak asasi di Malaysia, mereka mesti mengakui kelemahan dan lebih bekerjasama dengan masyarakat sivil bagi memastikan dasar-dasar dan amalan diketengah selari dengan undang-undang dan standard hak asasi manusia.
Laporan itu yang menilai keadaan hak asasi di 155 negara menyatakan kebimbangan terhadap isu hukuman mati, kebebasan bersuara, keganasan polis dan kematian tahanan, hak asasi pelarian dan pendatang, hak orang asal dan hak mendapatkan persekitaran yang sihat. – UTUSAN
habis.










