SEPANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kerjasama tiga pihak berkepentingan akan melonjak semula kegemilangan syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines (MAS).
Menurut Perdana Menteri, kesediaan Kementerian Pengangkutan, Malaysia Aviation Group Bhd. (MAG) dan Khazanah Nasional Berhad bekerja dalam satu pasukan dengan prinsip ketelusan dan mengelak pembaziran boleh selamatkan negara dan mampu memberi pulangan semula kepada kumpulan pekerja.
Beliau berkata, perkembangan memberansangkan MAS memberikan keyakinan dan harapan kepada syarikat itu untuk maju dan kembali cemerlang melalui pengurusan kepimpinan dan tatakelola baik.
“Saya ikuti lebih dekat sejak 90-an sehingga jadi ketua pembangkang, tidak lepaskan perhatian saya bagaimana perubahan kepimpinan beralih, ada ambil alih keadaan sudah bobrok, keutamaan kepada gedung indah, pejabat baik, lukisan hebat dalam keadaan syarikat itu hampir muflis.
“Tidak masuk akal dan dia khianat apabila tidak dipantau dan tidak ada pengurus yang mungkin pintar dan layak, tetapi tidak ada komitmen dari segi tatakelola dan nilai.
“Sebab itu dalam Madani, selain daripada semua aspek pengurusan yang cekap dan melihat kepada menyongsong hari muka, dari segi tranformasi digital dan transisi tenaga, pelan infrastruktur, kita tak tinggal soal nilai, kemanusiaan ihsan dan rahmah,” katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Kampus dan Upacara Pecah Tanah Simulasi Penerbangan MAB Academy di sini hari ini.
Anwar pada masa sama meletakkan harapan, pelancaran kampus MAB Academy itu bukan sahaja dapat memenuhi keperluan untuk menjadi sebuah pusat latihan penerbangan canggih, tetapi tidak meninggalkan aspek keramahan dan kesopanan dalam menyediakan perkhidmatan.
Katanya, keutamaan aspek ini yang menjadi kepercayaan syarikat penerbangan luar dengan keupayaan MAS sekian lama.
“Kalau dulu saya pergi mana-mana ke seluruh dunia, orang bicara mengenai MAS dan hospitality, first class dan most polite.
“Saya harap pusat latihan ini memberikan penekanan aspek ini selain daripada latihan teknikal yang tentunya ada kepakaran, apatah lagi soal teknologi digital, inovasi yang menuntut untuk kita ikuti perkembangan.
“Jadi saya harap MAB Academy terus memantau, kita tak nak terikat kerangka lama, jadi harus ada tenaga baharu ada kelebihan lebih tranformasi digital dan inovasi lonjak keupayaan MAS,” katanya. – UTUSAN










