PETALING JAYA: Keputusan sama ada calon Parti Gerakan Rakyat (Gerakan) bakal dipertaruhkan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu atau tidak, bakal diketahui malam ini.
Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, PN telah membincangkan lebih mendalam berhubung calon dan parti manakah yang bertanding dalam pilihan raya itu dalam mesyuarat khas yang berlangsung pada Isnin lalu.
“Ya, PN telah memutuskan calon daripada parti manakah bertanding. Ia bakal diumumkan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin Khamis,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Bagaimanapun, Hoe Chai tidak menjawab sama ada Gerakan diberikan laluan bertanding meskipun pihaknya sebulat suara memutuskan untuk mencuba nasib dalam PRK Kuala Kubu Bharu yang berlangsung pada 11 Mei ini.
Persoalan sama ada Gerakan diberi laluan meletakkan calon mewakili PN dalam PRK DUN Kuala Kubu Baharu masih belum terjawab sehingga kini.
Sebelum ini, akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor dikatakan mahu diberikan laluan merampas kerusi itu daripada penguasaan Pakatan Harapan (PH) sejajar ‘misi 4-0’ mereka untuk menewaskan Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP dalam PRK tersebut.
PN sudah menguasai kerusi Parlimen Hulu Selangor sertai DUN Hulu Bernam dan Batang Kali menerusi wakil Pas dan Bersatu, justeru kali ini gabungan parti itu menaruh keyakinan tinggi untuk menang di kubu kuat DAP selama tiga penggal itu.
Sebaliknya Gerakan minggu lalu sebulat suara memutuskan untuk bertanding di PRK Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini, namun terserah kepada PN untuk memutuskan demikian.
Ketika PRN Selangor Ogos lalu, Gerakan yang mempertaruhkan Pengerusi Gerakan Selangor, Henry Teoh Kien Hong kalah dalam pertandingan tiga penjuru dengan 10,743 undi berbanding calon PH, Lee Kee Hiong yang menang 14,862 undi.
PRK Kuala Kubu Baharu terpaksa diadakan ekoran Kee Hiong yang meninggal dunia 21 Mac lalu akibat kanser.
Sementara itu, Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, calon PRK Kuala Kubu Bharu mestilah seorang individu yang kental dengan perjuangan parti dan mempunyai prinsip yang kuat.
“Calon mesti istiqamah dengan perjuangan PN kerana kita tidak mahu apa hang terjadi sekarang (bertukar sokongan kepada kerajaan) terus berulang.
“Oleh itu, tapisan yang sangat ketat memang dibuat untuk memastikan calon itu nanti benar-benar memenuhi kriteria yang ditetapkan, calon boleh menang dan akan membawa mandat rakyat tanpa memperjuangkan prinsip dan parti,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
PN dijadual mengumumkan calon yang bertanding dalam PRK DUN Kuala Kubu Bharu, hari ini. – UTUSAN










