BKK Aidilfitri tepat pada masa, bantu ringankan kos sara hidup

BKK Aidilfitri tepat pada masa, bantu ringankan kos sara hidup – Anwar

ANWAR Ibrahim ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan MOF di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui keputusan memberikan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada penjawat awam tepat pada masanya selepas mengambil kira kos sara hidup yang sedikit meningkat ketika ini.

Perdana Menteri berkata, masih ada penjawat awam di peringkat bawah yang mengeluh dengan peningkatan kos sara hidup tambahan lagi bagi memenuhi keperluan menjelang Aidilfitri.

“Malam (kelmarin), saya fikir (mengenai BKK itu) dan nak tidur pun terganggu. Jadi, saya fikir bagi saja lah sikit kurang-kurang reda sikit (beban) dan kerja pun semangat.

“Harap kita belanja dengan cermat dan berhemah,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan bersama warga Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan percaya, keputusan agihan bantuan Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam sebanyak RM2,000 kepada penjawat awam bulan lalu tidak dapat menampung keperluan sedia ada.

Kata beliau, walaupun ia keputusan bijak, namun beliau mendapati agihan itu tidak dapat menampung sehingga Aidilfitri kerana ia telah digunakan untuk keperluan perbelanjaan persekolahan anak.

“Saya telah jelajah ke Sarawak, Pahang, Perak dan Perlis malah, saya lihat masih ada penjawat awam di peringkat bawah mengeluh kerana kos sara hidup yang meningkat sedikit,” katanya.

Semalam, Anwar mengumumkan BKK Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 56 ke bawah yang akan dibayar pada Jumaat ini selain bayaran RM250 kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen.

Pada masa sama, Anwar berkata, beliau juga menggesa semua agensi, badan-badan berkanun kerajaan dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan untuk mengumumkan bantuan sama kepada pekerja mereka.

“Kalau boleh bagi lah pertimbangan untuk ratusan ribu pekerja di bawah supaya mereka dapat habuan untuk meringankan beban bagi sambut Aidilfitri,” katanya.

Katanya, beliau juga menggesa institusi perbankan supaya membuat pertimbangan sama.

“Saya tak boleh bagi arahan kerana ia urusan mereka masing-masing tapi saya bagi gesaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN