PETALING JAYA: Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor mendakwa majoriti pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu mahu Perikatan Nasional (PN) meletakkan calon Melayu pada pilihan raya kecil (PRK) 11 Mei ini.
Memetik laporan Free Malaysia Today (FMT), pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut berkata, kajian lapangan jentera pihaknya mendapati gelombang PN yang menawan majoriti kawasan utara Selangor pada pilihan raya negeri (PRN) Ogos lalu kian merebak ke Kuala Kubu Baharu.
“Kalau kita lihat keadaan semasa memang pengaruh kalau diletakkan calon Melayu agak signifikan dengan apa yang berlaku sekarang (peralihan pengundi Melayu kepada PN), yang itu kita lihat (di lapangan).
“Sebagai pimpinan di peringkat bawah, kita suarakan pendapat berpandukan ‘survei’ yang kita buat di bawah,” kata Khairul kepada portal itu.
Semalam beliau dan kepimpinan Bersatu Bahagian Hulu Selangor mengadakan pertemuan bersama Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin semalam.
Bagaimanapun, Khairul berkata mereka akan akur dengan pemilihan calon dari mana-mana komponen PN yang ditentukan pimpinan, dan akan tetap berkempen memenangkannya.
“Apa saja keputusan yang dibuat kita di bawah sebagai akar umbi harus akur. Itu atas prinsip berparti… yang penting siapa saja calon mewakili PN nak bertanding kita nak menang.”
Awal bulan lalu, Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau berkata parti itu mempunyai kelebihan jika dibenarkan mewakili PN pada PRK Kuala Kubu Baharu.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac 2024.
Beliau adalah wakil rakyat DUN Kuala Kubu Baharu sejak 2013 dan ini adalah penggal ketiganya selepas mengekalkan kerusi itu pada pilihan raya negeri Selangor 2023. – UTUSAN










