Kolej Vokasional (KV) Pertanian Chenor dipilih sebagai lokasi pertama daripada enam KV Pertanian di seluruh negara untuk melaksanakan Projek Tanaman Lestari sorghum.
Pengarah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (BPLTV), Ir. Zulkernai Fauzi berkata, inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh Agrobank itu amat bermakna buat dunia pendidikan, khususnya dalam bidang pertanian.
“Projek penanaman sorghum ini memberi pendedahan praktikal kepada pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mengenai pertanian lestari, inovasi, serta keusahawanan.
“Inisiatif bersama BPLTV di institusi TVET pertanian terpilih ini akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Oktober 2026 hingga September 2027,” katanya di KV Chenor baru-baru ini.
Ujar beliau, projek berkenaan bakal memberi manfaat kepada 775 pelajar dengan merangkumi kawasan tanaman seluas enam ekar di enam kolej vokasional pertanian seluruh negara.
Ujarnya, melalui projek itu pelajar bukan sahaja mempelajari kaedah penanaman dan pengurusan sorghum secara mampan, malah turut meneroka potensi tanaman itu menerusi pembangunan produk makanan serta aktiviti keusahawanan.-UTUSAN











