Pendidik Mara tunjang kejayaan generasi berilmu

Pendidik Mara tunjang kejayaan generasi berilmu

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki (dua kiri) menyerahkan Anugerah Ikon Pendidik Lelaki kepada Anugerah Tokoh Pendidik MARA, Zulfakar Maamor (tengah) pada Hari Anugerah Pendidik Mara di Kuala Lumpur baru-baru ini . Turut sama, Ketua Pengarah Mara, Datuk Zulfikri Osman (dua kanan). – UTUSAN/ FARIZ RUSADIO.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Menjadi seorang pendidik bukan sekadar menyampaikan ilmu di dalam bilik darjah, sebaliknya memikul amanah besar membentuk sahsiah, menyemai nilai murni, memupuk minat terhadap pembelajaran serta membimbing pelajar menjadi individu yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.

 

 

Memuatkan artikel berkaitan…

Walaupun berdepan pelbagai cabaran serta perubahan landskap pendidikan, semangat untuk terus mendidik tidak pernah luntur kerana kejayaan setiap pelajar merupakan kepuasan dan pencapaian paling bermakna bagi seorang guru.

Salah satu agensi kerajaan yang memberi ruang kepada anak Malaysia mendapat pendidikan dan kemahiran ialah Mara, yang terletak di bawah Kementerian Pembangunan Desa dan Wilayah (KPDW).

Mara baru-baru ini mengadakan Hari Anugerah Pendidik Mara (APM) 2026 yang berlangsung di ibu negara.

Dalam majlis tersebut yang disempurnakan Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki jasa hampir 10,000 warga pendidik Institusi Pendidikan MARA (IPMA) diraikan.
Majlis tersebut menjadi simbol penghargaan kepada warga pendidik yang menjadi tunjang kecemerlangan sistem pendidikan Mara dalam melahirkan modal insan bumiputera yang berilmu, berkemahiran dan berdaya saing.

Hari Anugerah Pendidik Mara yang diperkenalkan sejak 2004 merupakan acara tahunan bagi mengiktiraf sumbangan pendidik di bawah Mara.
Institusi yang terlibat merangkumi Taska dan Tadika Mara, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kolej Mara, Kolej Profesional Mara, TVET Mara, German-Malaysian Institute (GMI), GIATMara, Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) dan Kolej Poly-Tech Mara (KPTM).

Penerima anugerah kategori Anugerah Ikon Pendidik Wanita dinobatkan kepada Pengurus GiatMara Bandar Tun Razak, Nor Azah Muhammad.

Menurut Nor Azah, cabaran terbesar sebagai pendidik dalam bidang teknologi fesyen adalah memastikannya sentiasa mengikuti perkembangan trend semasa sebelum membimbing pelajar.
Katanya, penampilan dan pengetahuan mengenai fesyen terkini penting bagi menarik minat pelajar selain membentuk mereka menjadi individu yang kreatif, berfikiran terbuka serta mampu bersaing dalam industri.

“Selain itu, memupuk minat pelajar terhadap bidang jahitan dan keusahawanan juga merupakan satu cabaran kerana mereka mudah mendapatkan pakaian murah yang dijual secara dalam talian.

“Minat merupakan perkara paling utama dalam bidang kemahiran. Tanpa minat, sukar untuk melahirkan pelajar yang benar-benar mahu belajar dan berjaya,” katanya ketika ditemui semasa majlis penyampaian anugerah.

Beliau berkata, proses pengajaran dalam bidang kemahiran tidak memadai dengan penerangan secara teori, sebaliknya memerlukan demonstrasi, sampel, alat bantu mengajar serta pendedahan kepada industri.

“Lawatan industri juga penting bagi membuka minda pelajar supaya lebih memahami keperluan sebenar dunia pekerjaan dan peluang yang tersedia dalam bidang tersebut.

“Kebanyakan pelajar saya terdiri daripada golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan ada dalam kalangan mereka datang daripada keluarga yang lebih susah serta berdepan pelbagai cabaran kehidupan.

“Jadi, keadaan itulah yang mendorong saya untuk terus memastikan setiap pelajar memiliki ilmu dan kemahiran.

“Ini kerana supaya mampu berdikari, menjana pendapatan sendiri serta membantu mengubah kehidupan keluarga pada masa hadapan,” katanya.

Bagi Nor Azah, setiap pelajar yang berada di bawah bimbingannya dianggap seperti anak sendiri.

“Apabila kita menganggap mereka seperti anak kita sendiri, ia menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan mereka bukan sahaja berjaya dalam pelajaran, malah memiliki sahsiah serta disiplin yang baik.

“Sekiranya hubungan antara pendidik dan pelajar rapat, ia akan memudahkan proses pembelajaran kerana mereka lebih mudah menerima nasihat, teguran dan bimbingan apabila berasa dihargai,” katanya.

Nor Azah berkata, pengiktirafan yang diterimanya juga disifatkan sebagai pembakar semangat untuk terus berbakti selain menjadi inspirasi kepada tenaga pengajar lain agar tidak pernah berputus asa dalam mendidik anak bangsa.

“Saya harap lebih ramai golongan muda yang minat untuk menceburi bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Ini kerana kemahiran mampu menjadi bekalan penting untuk menjana pendapatan pada masa hadapan, terutama ketika peluang pekerjaan semakin mencabar,” katanya.

Sementara itu, penerima Anugerah Ikon Pendidik Lelaki, Timbalan Pengarah (Sains Sosial dan Ulul Albab) Bahagian Pendidikan Menengah Mara, Dr. Zulkifli Hussain @ Mat Hassan berkata, cabaran terbesar seorang pendidik masa kini ialah memastikan diri sentiasa relevan dengan perubahan landskap pendidikan.

Katanya, proses pembelajaran tidak seharusnya terhenti walaupun seseorang pendidik telah memiliki kelulusan tertinggi.

“Ini kerana perubahan teknologi, media sosial serta corak pembelajaran generasi muda menuntut guru sentiasa meningkatkan ilmu dan kemahiran dari semasa ke semasa.
“Pendekatan pedagogi terbeza perlu dilaksanakan supaya kaedah pengajaran dapat disesuaikan mengikut keperluan setiap pelajar yang mempunyai latar belakang dan tahap kebolehan berbeza,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, antara pengalaman yang paling sukar dilupakan sepanjang dalam dunia pendidikan ini adalah apabila melihat sendiri pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan datang mendaftar di MRSM hanya dengan membawa beg plastik kerana kekangan hidup.

“Ada juga pelajar yang membawa pulang buah epal dari dewan selera untuk dikongsi bersama keluarga kerana mereka tidak pernah menikmati makanan tersebut di rumah.

“Pengalaman seperti itu menjadi amanah kepada saya untuk memastikan pendidikan mampu memutuskan rantaian kemiskinan keluarga mereka.

“Sebab itu saya sentiasa berpegang kepada slogan ‘pelajar terus belajar’ kerana proses pembelajaran tidak pernah berakhir.

“Saya berharap dapat meninggalkan legasi menerusi penghasilan buku, modul dan bahan pendidikan yang boleh terus dimanfaatkan oleh guru serta pelajar Mara walaupun selepas persaraannya kelak,” katanya.

Seterusnya, bagi penerima Anugerah Tokoh Pendidik Mara, Zulfakar Maamor, , seseorang pendidik perlu sentiasa menambah ilmu kerana pelajar memerlukan pengetahuan yang lebih tinggi daripada apa yang mereka miliki.

Menurutnya, pendidik tidak boleh berhenti belajar, sebaliknya perlu sentiasa mencari pengetahuan baharu agar ilmu yang disampaikan kekal relevan dengan perkembangan semasa dan keperluan industri.

“Antara pendekatan yang saya sering gunakan ketika mengajar adalah berkongsi kisah kejayaan individu dalam sesuatu bidang.

“Dengan pendekatan seperti inilah saya dapat menyuntik semangat dan keyakinan pelajar untuk mencapai cita-cita mereka pada masa akan dating,” katanya.

Beliau berkata, selepas kita mengajar, kita kena ikhlaskan apa ilmu yang kita curahkan kepada pelajar.

“Jangan mengharapkan ‘imbuhan’ kerana jika ada, itu rezeki yang Allah SWT berikan. Jika tiada, kita tetap perlu ikhlas dalam mendidik,” katanya.

Zulfakar berkata, antara kenangan paling bermakna sepanjang lebih 40 tahun bergelar pendidik adalah apabila seorang bekas pelajarnya daripada keluarga berpendapatan rendah menghubunginya pada pagi Aidilfitri bagi mengucapkan Selamat Hari Raya kepadanya.

“Saya bertanya kepada pelajar itu, kenapa telefon saya sedangkan boleh saja datang beraya ke rumah saya hari itu.

“Kemudian dia memberitahu saya yang dia sedang bekerja di sebuah platform di Vietnam.

“Apabila saya mendengar perkara itu, saya berasa terharu dan bangga terhadap pelajar itu.

“Kejayaan bekas pelajar saya itu membuktikan pendidikan dan kemahiran mampu mengubah kehidupan seseorang.

“Hal ini menjadi satu kepuasan terbesar buat seorang pendidik yang mencurahkan ilmu dengan penuh keikhlasan,” katanya.

Dalam masa sama, Zulfakar turut berharap agar lebih ramai anak muda memilih TVET sebagai laluan pendidikan.

“Pada masa sekarang, TVET merupakan bidang yang semakin mendapat perhatian serta menawarkan peluang kerjaya yang luas.

“Saya amat menggalakkan anak-anak muda di luar sana untuk mendapatkan maklumat dan bimbingan melalui pusat khidmat nasihat Mara di seluruh negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini