UKM guna teknologi implan suara boleh laras pertama di Malaysia

UKM guna teknologi implan suara boleh laras pertama di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI : Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) menggunakan implan suara boleh laras bagi merawat pesakit yang

mengalami kelumpuhan lipatan vokal sebelah (unilateral vocal fold paralysis). 

Implan yang dikenali sebagai A Prevent Vocal Implant System (VOIS) merupakan teknologi yang pertama diperkenalkan di Malaysia dan Asia Tenggara.

Memuatkan artikel berkaitan…

Pakar Perunding Otorinolaringologi (Laringologi), Profesor Datuk  Dr Marina Mat Baki berkata kelumpuhan sebelah lipatan vokal berlaku apabila salah satu daripada dua

lipatan vokal tidak lagi dapat bergerak secara normal untuk menghasilkan suara. 

 

“Dalam keadaan normal, kedua-dua lipatan vokal bergerak menghampiri satu sama lain dan bergetar ketika seseorang bercakap.

 

“Namun, apabila salah satunya lumpuh, terdapat ruang antara kedua-dua lipatan vokal yang menyebabkan udara mudah terlepas ketika bercakap. Akibatnya, suara menjadi lemah, berbisik dan mudah penat,” katanya.

 

Katanya, keadaan ini boleh dirawat melalui pembedahan tiroplasti, iaitu prosedur yang bertujuan memperbaiki penutupan lipatan vokal.

 

“Dalam pembedahan ini, doktor akan memasukkan implan khas untuk menolak lipatan vokal yang lumpuh ke arah tengah supaya ia dapat bertemu dengan lipatan vokal yang sihat.

 

“Dengan cara ini, kedua-dua lipatan vokal dapat menutup dengan lebih baik ketika bercakap, sekali gus menghasilkan suara yang lebih kuat dan jelas,” katanya.-UTUSAN

 

Berbeza dengan implan konvensional yang lazimnya berada pada kedudukan tetap selepas pembedahan, VOIS mempunyai komponen silikon kecil yang boleh

dilaraskan mengikut perubahan keadaan pesakit.

 

“Jumlah cecair saline dalam implan boleh ditambah atau dikurangkan selepas pembedahan bagi menyesuaikan kedudukannya mengikut perubahan keadaan

pesakit.

 

“Keupayaan ini memberi satu kelebihan kerana doktor boleh mengoptimumkan semula fungsi suara tanpa semestinya melakukan prosedur penggantian implan,”

katanya.

 

“Keadaan tubuh pesakit boleh berubah dari semasa ke semasa. justeru, otot pada lipatan vokal yang terjejas boleh mengecil, manakala bengkak selepas pembedahan

akan beransur pulih.

 

“Perubahan ini boleh menyebabkan kedudukan implan yang pada awalnya memberikan hasil baik menjadi kurang optimum pada masa hadapan,” katanya.

 

Dr. Marina berkata kelumpuhan lipatan vokal boleh menjejaskan kehidupan harian pesakit kerana suara merupakan elemen penting dalam komunikasi, pekerjaan dan

keyakinan diri.

 

“Bagi individu yang mengalami kelumpuhan lipatan vokal, suara yang dahulunya jelas boleh berubah menjadi perlahan, berbisik dan cepat hilang tenaga.

 

“Perbualan pendek boleh menyebabkan keletihan, manakala pekerjaan yang bergantung kepada suara seperti guru, pensyarah, doktor dan pengucap awam

boleh terjejas,” katanya.

 

Menurut beliau, kajian mendapati punca utama kelumpuhan lipatan vokal dalam kalangan pesakit yang dirawat adalah berkaitan dengan pembedahan kelenjar tiroid.

 

Punca lain termasuk pembedahan jantung dan dada, jangkitan tertentu serta gangguan melibatkan saraf yang mengawal pergerakan lipatan vokal.

 

Dr Marina yang juga merupakan Dekan Fakulti Perubatan UKM berkata, sehingga kini, pasukan UKM telah melaksanakan 18 prosedur menggunakan implan VOIS

tanpa melaporkan komplikasi besar seperti gangguan saluran pernafasan atau pendarahan serius.

 

“Lapan pesakit memerlukan pelarasan semula saline selepas pembedahan.  “Pelarasan tersebut berjaya memperbaiki penutupan lipatan vokal dan menunjukkan

kelebihan utama teknologi ini iaitu kebolehannya menyesuaikan rawatan mengikut perubahan individu pesakit,” katanya.

 

Walaupun dapatan ini melibatkan jumlah pesakit yang terhad, hasil yang diperoleh memberikan asas penting untuk kajian lebih besar pada masa hadapan, jelas Dr

Marina.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini