Sekolah Kebangsaan (SK) Mentera menyemarakkan sambutan Hari Sukan Negara menerusi pelbagai aktiviti sukaneka yang melibatkan murid prasekolah hingga Tahun Enam di padang sekolah itu, baru- baru ini.
Program bertemakan Bersama Sukan, Malaysia Lebih Cergas itu dimulakan dengan aktiviti senamrobik pada pukul 7.45 pagi sebelum diteruskan dengan acara sukaneka pada pukul 8.20 pagi.
Pelbagai acara diadakan mengikut tahap persekolahan bagi memupuk gaya hidup sihat, semangat kesukanan dan kerjasama dalam kalangan murid.
Antara acara bagi murid prasekolah dan Tahun Satu ialah membawa bola pingpong menggunakan sudu, menjunjung pundi kacang dan membaling pundi kacang ke dalam baldi.
Murid Tahun Dua dan Tiga pula menyertai acara menarik bola menggunakan gelung rotan mengelilingi kon, mengapit bola menggunakan belakang tubuh serta menyusun kon, manakala murid
Tahun Empat mengambil bahagian dalam acara lari dalam guni, mengawal bola hoki dan sepakan penalti.
Murid Tahun Lima menyertai permainan bola baling, manakala acara bola sepak dikhaskan untuk murid Tahun Enam.
Guru Besar SK Mentera, Rozanita Ismail berkata, penganjuran program seumpama itu penting bagi membudayakan aktiviti fizikal dalam kehidupan harian murid, selain membantu meningkatkan kecergasan, disiplin, keyakinan diri dan semangat berpasukan.
Kehadiran ibu bapa yang turut menyaksikan acara berkenaan menambahkan kemeriahan sambutan, sekali gus memperlihatkan sokongan terhadap pembangunan murid melalui aktiviti kokurikulum.
Program itu diharap dapat menyemai minat terhadap sukan sejak di bangku sekolah serta melahirkan generasi yang sihat, cergas dan berdaya saing. –UTUSAN











