Inovasi sabun mandi beri kemenangan SK Simpang Rawai

Inovasi sabun mandi beri kemenangan kepada SK Simpang Rawai

MOHAMAD Shafiy Amsyar Mohd Shariza (tiga dari kanan), Aleeya Najwa Azhar (tiga dari kiri) dan Nur Zahra Alysha Saipul Azizi (dua dari kiri) mewakili Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Rawai, Marang, Terengganu yang muncul juara dalam Pertandingan Inovasi Sabun Herba Alami Peringkat Negeri Terengganu, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kreativiti menghasilkan sabun mandi herba alami menggunakan kulit pisang dan kulit rambai membawa kejayaan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Rawai, Marang dalam Pertandingan

Inovasi Sabun Herba Alami Peringkat Negeri Terengganu, baru-baru ini.

Kejayaan itu dicapai menerusi penyertaan tiga murid tahun enam sekolah berkenaan iaitu Mohamad Shafiy Amsyar Mohd. Shariza, Aleeya Najwa Azhar dan Nur Zahra Alysha Saipul Azizi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Guru pembimbing, Shaharul Nizam Said berkata, kejayaan itu didorong oleh pembentangan yang mantap, pemilihan bahan semula jadi lestari serta keupayaan murid menjawab soalan panel hakim dengan yakin dan berkesan.

Katanya, pertandingan anjuran Jawatankuasa Panitia Sains dengan kerjasama Pusat Sumber Sekolah dan Kelab STEM SK Simpang Rawai itu memberi peluang kepada murid menunjukkan kefahaman yang baik terhadap inovasi dihasilkan apabila mampu mengemukakan hujah yang kukuh serta memberikan justifikasi rasional berhubung penggunaan bahan berkenaan.

“Pemilihan kulit pisang dan kulit rambai bukan sahaja menunjukkan kreativiti murid malah membuktikan bahan buangan daripada sumber semula jadi boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan produk yang mempunyai nilai tambah.

“Selain itu, pembentangan yang jelas dan meyakinkan serta keupayaan menjawab soalan hakim dengan baik turut menjadi antara kekuatan utama yang menyumbang kepada kejayaan ini,” katanya kepada Utusan Pelajar.

Beliau berkata, penyediaan meja pameran yang padat dengan maklumat dan menarik turut membantu menyampaikan idea inovasi berkenaan dengan lebih berkesan kepada pengunjung.

“Walaupun tempoh kajian hanya sebulan, peserta dapat menyiapkan hasil akhir pada waktu yang ditetapkan. Pertandingan tersebut adalah aktiviti pembelajaran berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang memberi peluang kepada murid mengaplikasikan pengetahuan sains dalam penghasilan produk menggunakan bahan semula jadi,” katanya.

Shaharul Nizam berkata, antara bahan yang boleh diteroka dalam penghasilan sabun herba alami adalah pandan, serai, bunga telang, kunyit, kopi, oat, lidah buaya dan kulit buah-buahan.

Aktiviti berkenaan bukan sahaja menggalakkan kreativiti dan inovasi malah memupuk kemahiran proses sains, komunikasi, kolaborasi serta penyelesaian masalah dalam kalangan murid.

Pertandingan itu turut bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar menerusi pemanfaatan bahan semula jadi, selain menghubungkan pembelajaran di dalam bilik darjah dengan pengalaman praktikal.

Sebanyak 12 sekolah daripada empat daerah menyertai pertandingan berkenaan, melibatkan Marang, Hulu Terengganu, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini