KLANG: Sepasang warga emas antara mangsa yang terjejas dalam kejadian banjir yang melanda sebahagian besar kawasan Meru di sini, apabila kediaman mereka dimasuki air selepas hujan lebat turun sejak awal pagi tadi.
Menurut, Siti Raonah Naib, 77, hujan lebat turun sejak pukul 5.30 pagi dan mula reda kira-kira tiga jam kemudian menyebabkan limpahan air dari parit berdekatan masuk ke dalam rumahnya.
“Kalau dalam rumah, air hanya naik sampai ke paras buku lali tapi kalau di luar rumah, paras air naik sampai ke paras lutut.
Semasa kejadian, saya bersama suami, Mohamed Jais Ohman, 85 dan seorang anak, Janarizan Mohamed Jais, 56,” katanya ketika ditemui.
Tambahnya, susulan itu dia terpaksa menghubungi seorang lagi anaknya, Junaidi Mohamed Jais, 55, yang tinggal di Rawang untuk membantunya berpindah ke tempat selamat.
“Saya dan suami tidak lagi mampu bergerak sendirian dan memang memerlukan bantuan untuk pindah. Mujur anak datang bantu kami pindah ke tempat selamat. Kami akan tinggal sementara di rumah Junaidi sehingga air surut.
“Cuma Janarizan yang akan tinggal untuk menjaga 10 ekor kucing peliharaan. Kami keluar dari rumah dengan menggunakan bot pelampung, yang dibeli selepas insiden bah besar, dua tahun lalu,” ujarnya.
Sementara itu, Mohamed Jais memaklumkan, bencana itu adalah kali kedua melanda kawasan rumah mereka selepas insiden bah besar dan berharap air dapat segera surut untuk membersihkan rumah.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pengurusan Bencana Selangor, Mohd. Najwan Halimi memberitahu, turut dilanda banjir adalah kawasan Bestari Jaya apabila 54 mangsa melibatkan 13 keluarga dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) di Desa Coalfields.

Sementara itu, semakan Utusan Malaysia di laman InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan, terdapat dua lagi PPS dibuka di negeri ini iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Merbau Sempak, Sungai Buloh dan SK Sungai Binjai, Meru.
Sehingga pukul 4 petang tadi, seramai 388 mangsa dipindahkan ke PPS iaitu 54 di Dewan MPKS Desa Coalfields dan 334 lagi di SK Merbau Sempak. Bagaimanapun tiada mangsa dipindahkan ke PPS SK Sungai Binjai berikutan keadaan di sana dilapor masih terkawal.
Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor dalam laporannya menyatakan sekurang-kurangnya 400 mangsa banjir di negeri ini dipindahkan ke PPS selepas kediaman mereka dinaik air akibat hujan lebat sejak petang semalam.
Bomba turut membuka Pos Kawalan Hadapan (PKH) di SK Merbau Sempak bagi memantau keadaan banjir dekat Kampung Kubu Gajah, Sungai Buloh. – UTUSAN










