PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan kerja ke Riyadh, Arab Saudi sempena Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) bermula hari ini hingga 29 April ini.
Kehadiran Perdana Menteri adalah atas jemputan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mohammed Salman Abdulaziz Al-Saud.
Menurut Kementerian Luar, Mesyuarat Khas yang bertemakan “Global Collaboration, Growth and Energy Development” akan dihadiri oleh ketua-ketua negara dan kerajaan serta pemimpin industri.
“Perbincangan akan tertumpu kepada isu pembangunan mampan, keselamatan tenaga, perdagangan dan pelaburan, serta isu-isu geopolitik semasa.
“Perdana Menteri akan menyertai Sesi Panel bertemakan “New Vision for Global Development” bersama pemimpin-pemimpin negara lain semasa pembukaan mesyuarat khas ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wisma Putra memaklumkan, Perdana Menteri turut akan menyampaikan ucaptama salam sesi “Joint Regional Strategy Dialogue on ASEAN – Gulf Cooperation Council (GCC)” yang diadakan khusus untuk mengetengahkan Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun 2025.
Selain itu, Anwar dijangka hadir sesi dialog “Country Strategy Dialogue” yang mana beliau akan berinteraksi dengan pemimpin industri dunia bagi mengetengahkan peluang-peluang ekonomi yang boleh dimanfaatkan di Malaysia.
“Sesi ini diadakan khas untuk membolehkan Malaysia mengetengahkan keutamaan strategik dan inisiatif negara, termasuk pertumbuhan ekonomi dan fiskal, serta peluang perdagangan dan pelaburan.
“Semasa Lawatan Kerja tersebut, Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan-rakan sejawatan beliau bagi mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala serta bertukar-tukar pandangan mengenai hal ehwal serantau dan antarabangsa,” katanya.
Wisma Putra berkata, lawatan kerja Perdana Menteri ke Arab Saudi akan mengukuhkan lagi hubungan erat yang sedia terjalin dengan Kerajaan Arab Saudi dan pada masa sama mempereratkan hubungan persahabatan peribadi di antara kedua pemimpin. – UTUSAN










